Konvensyen Khas Pemuda UMNO: Isyarat tekanan akar umbi

PEMUDA UMNO hari ini menganjurkan konvensyen khas di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Konvensyen bertemakan 'Hala tuju UMNO dalam Kerajaan Perpaduan' itu bertujuan menyuarakan pandangan dan isi hati secara terbuka serta berani dengan menilai semula kedudukan parti dalam kerajaan kini.
Suara pergerakan belia lelaki Melayu dan bumiputera itu sering menjadi barometer sentimen daripada akar umbi untuk memperlihatkan fasa baharu kelantangan suara sayap menerusi platform rasmi.
Walaupun konvensyen itu dicetuskan oleh kegagalan Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin membuat permohonan maaf seperti dituntut Pemuda UMNO Selangor, isu sebenar yang ingin diangkat jauh lebih besar dan bersifat struktural kepada persoalan keserasian UMNO dalam Kerajaan Perpaduan yang diterajui bersama Pakatan Harapan (PH).
Tindakan Pemuda UMNO Selangor dan UMNO Bahagian Puchong memutuskan hubungan dengan PH di peringkat tempatan memberi gambaran jelas bahawa kekecewaan bukan lagi bersifat retorik sebaliknya mula diterjemahkan dalam bentuk keputusan politik.
Kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh bahawa pendirian yang dibawa bukan pandangan peribadi tetapi suara sebenar ahli yang harus dibaca sebagai mesej langsung kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan presiden parti.
Konvensyen khas tersebut lebih tepat dilihat sebagai referendum dalaman terhadap hala tuju parti pasca pilihan raya serta ujian sejauh mana kepimpinan tertinggi sanggup mendengar dan bertindak atas kehendak akar umbi.
Dalam konteks politik semasa, langkah Pemuda UMNO itu bukan sekadar reaksi terhadap satu insiden, tetapi manifestasi ketegangan ideologi dan strategi yang masih belum selesai dalam UMNO.
Keputusan yang lahir daripada konvensyen itu berpotensi menjadi penentu penting kepada landskap politik negara bagi tempoh baki 24 bulan akan datang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
