Sanusi tolak Pengerusi PN, cadang Ahmad Samsuri

SHAH ALAM – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menolak jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) meskipun namanya dicalonkan bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang telah meletakkan jawatan.
Sebaliknya, Muhammad Sanusi mencadangkan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai calon yang lebih sesuai untuk menerajui gabungan berkenaan.
“Saya cadangkan calon yang lebih layak, Dr Ahmad Samsuri iaitu Menteri Besar Terengganu.
“Beliau lebih baik daripada pengerusi sebelum ini. Tidak perlu banding dengan saya,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Sebelum ini, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa Khamis lalu susulan krisis politik di Perlis.
Susulan perkembangan itu, timbul desakan daripada Pas agar jawatan Pengerusi PN diserahkan kepada pimpinan parti berkenaan.
Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Ahmad Yahaya turut menyatakan persetujuan terhadap pencalonan Muhammad Sanusi sebagai pengerusi gabungan tersebut.
Muhammad Sanusi menegaskan bahawa kelebihan Ahmad Samsuri dalam merangka strategi politik parti menjadikannya calon paling sesuai bagi jawatan berkenaan.
“Saya jeneral di medan, jaga tentera. Kerja saya di akar umbi.
“Beliau pula menguruskan strategi dan mengendalikan ‘roadmap’ (hala tuju),” ujarnya.
Ringkasan AI
- Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menolak jawatan Pengerusi Perikatan Nasional yang dicadangkan kepadanya
- Muhammad Sanusi mencadangkan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai calon yang lebih sesuai
- Sebelumnya, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN
- Terdapat desakan dari Pas untuk menyerahkan jawatan Pengerusi PN kepada pimpinan parti tersebut
- Muhammad Sanusi menyatakan Ahmad Samsuri lebih sesuai kerana kelebihannya dalam merangka strategi politik parti
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

