Ketua Pemuda Pas jawab dakwaan PN sudah rosak, hilang arah

SHAH ALAM - Dakwaan bahawa Perikatan Nasional (PN) sudah rosak, hilang arah atau menuju kehancuran adalah tidak benar, kata Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden.
Sebaliknya beliau berkata, PN masih wujud dan proses pembentukan kepimpinan baharu sedang dibincangkan bagi mengisi kekosongan jawatan dilepaskan oleh individu tertentu.
Menurutnya, kepimpinan PN pada peringkat pusat, negeri dan bahagian atau kawasan masih kekal serta berfungsi seperti biasa.
Katanya, kerajaan negeri Kedah, Kelantan dan Terengganu masih berjalan seperti biasa kerana tiada pimpinan Bersatu yang digugurkan atau letak jawatan dalam kerajaan negeri.
"Ahli Parlimen Pas dan Bersatu masing-masing masih saling berhubung. Ada yang hantar mesej peribadi, ada yang jemput kenduri dan ada juga yang ucap takziah atas kehilangan ahli keluarga.
"Malah, ada yang berbincang mengenai soalan-soalan untuk sidang Dewan Rakyat sesi akan datang dan saling nasihat-menasihati bagi meredakan keadaan.
"Riuhlah sekejap sehari dua. Biasalah. Waktu tengah konflik, tengah panas, riuhlah. Pakat meluah rasa, melontar kritikan, memberi pandangan tetapi selepas keadaan reda, masing-masing mohon maaf. Ukhuwah bertaut kembali," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.
Afnan Hamimi mendakwa, dirinya tidak pernah menulis bahawa PN akan berkubur, sebaliknya memberi usul agar gabungan pembangkang itu terus dijaga dan diperkasa.
"Itulah usul Pemuda Pas yang diluluskan dalam Muktamar Pas lalu. Harapan rakyat kepada PN terlalu tinggi setelah harapan mereka terhadap Pakatan Harapan (PH) berkubur.
"Apabila dilontarkan idea PN dan MN (Muafakat Nasional) nampaknya ramai yang menyokong. Ramai yang berharap agar penyatuan ummah ini benar-benar dapat diusahakan kembali, demi kepentingan Islam dan Melayu yang majoriti, serta memelihara kaum lain yang minoriti.
"Tidak dinafikan, satu cara untuk melemahkan PH khususnya DAP ialah melalui penyatuan ummah. Sekarang mereka naik tocang sebab Melayu Islam tidak bersatu. DAP dan PH akan terus berusaha supaya kita tidak bersatu. Kenapa? Supaya mereka dapat terus berkuasa buat apa sahaja," dakwanya lagi.
Beliau menambah, PN dijangka menjadi kuat dan cergas dengan pembentukan kepimpinan baharu kelak.
"Insya-ALLAH. Penyatuan ummah yang sangat diidamkan, pasti akan terbentuk kelak. Itulah kehendak politik Islam, politik yang menyatukan dan bukan memecah-belahkan. Syaratnya, buang agenda peribadi, letak agenda ummah paling tinggi," katanya.
Ringkasan AI
- Dakwaan gabungan parti dalam PN sudah rosak, hilang arah atau menuju kehancuran adalah tidak benar menurut Afnan Hamimi
- PN masih wujud dan proses pembentukan kepimpinan baharu sedang dibincangkan bagi mengisi kekosongan jawatan
- Kepimpinan PN pada peringkat pusat, negeri dan bahagian atau kawasan masih kekal serta berfungsi seperti biasa
- Kerajaan negeri Kedah, Kelantan dan Terengganu masih berjalan seperti biasa tanpa pengaruh konflik dalam PN
- Afnan Hamimi mendakwa keharmonian dalam PN masih terjaga dan mengusulkan gabungan itu dijaga dan diperkasa demi kepentingan Islam, Melayu dan memelihara kaum minoriti
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
