Guru mengaku lakukan amang seksual terhadap dua murid lelaki

KUALA LUMPUR - Seorang guru pada Rabu mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua murid lelaki.
Kumpul, 40, yang merupakan warga Indonesia, didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah sekolah rendah agama di Wangsa Maju di sini antara April 2024 dan November 2025 mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 serta Seksyen 16(1) akta sama.
Seksyen 14(a) memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan manakala Seksyen 16(1) memperuntukkan hukuman maksimum penjara lima tahun dan minimum dua sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya, Siti Pervinah Mohamad Yusof tidak menawarkan jaminan kerana semakan Imigresen mendapati maklumat pasport tidak sama dengan tertuduh, dan terdapat risiko untuknya melarikan diri selain memohon tarikh lain untuk memaklumkan fakta kes serta hukuman.
Hakim Noridah Adam tidak membenarkan tertuduh, yang tidak diwakili peguam, diikat jamin dan menetapkan 5 dan 21 Januari depan untuk fakta kes serta hukuman. - Bernama
Ringkasan AI
- Seorang guru di Kuala Lumpur mengaku bersalah atas tiga pertuduhan amang seksual fizikal terhadap dua murid lelaki
- Guru tersebut merupakan warga Indonesia dan melakukan kesalahan tersebut di sebuah sekolah rendah agama di Wangsa Maju
- Dituntut mengikut Seksyen 14(a) dan Seksyen 16(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017
- Timbalan Pendakwa Raya tidak menawarkan jaminan kerana risiko tertuduh melarikan diri
- Hakim menetapkan tarikh untuk fakta kes serta hukuman pada 5 dan 21 Januari
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
