Suri rumah maut ketika melintas jalan

ALOR SETAR – Seorang suri rumah maut dilanggar sebuah kereta ketika melintas jalan dalam kejadian di Lebuhraya Darul Aman, di sini lebih kurang jam 7.30 pagi Rabu.
Mangsa, Chin Seow Hua, 68, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat dilanggar kereta Proton Saga yang sedang bergerak lurus di lorong kanan jalan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, siasatan awal mendapati pemandu lelaki berusia 29 tahun datang dari arah Taman Sri Gemilang, Mergong menuju ke Jitra, manakala mangsa melintas dari kiri ke kanan jalan.
“Ketika kejadian, keadaan jalan lurus dan cuaca baik, namun pencahayaan gelap kerana lampu jalan tidak menyala.
"Difahamkan, mangsa dipercayai melintas jalan secara mengejut di hadapan kenderaan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, jarak yang terlalu dekat menyebabkan pemandu tidak sempat mengelak sebelum melanggar mangsa, mengakibatkan mangsa melambung dan terjatuh di atas jalan.
"Kesan seretan brek sepanjang 9.6 meter turut ditemui di lorong kanan jalan. Impak kemalangan menyebabkan cermin hadapan kereta pecah, bonet dan bampar depan kemek," katanya.

<
Menurut beliau, pemandu tidak mengalami kecederaan manakala mangsa cedera parah di kepala dan kaki sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian,” katanya.
Kes diklasifikasikan bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Polis turut menahan kenderaan terlibat untuk pemeriksaan lanjut dan ujian saringan air kencing ke atas pemandu didapati negatif.
"Siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian pejalan kaki yang melintas di tempat bukan lintasan pejalan kaki," katanya.
Ringkasan AI
- Seorang suri rumah maut dilanggar kereta ketika melintas jalan di Alor Setar
- Mangsa, Chin Seow Hua, 68 tahun, meninggal dunia di lokasi kejadian
- Pemandu berusia 29 tahun, keadaan jalan lurus dan cuaca baik tetapi pencahayaan gelap
- Pemandu tidak sempat mengelak, mangsa melambung dan terjatuh
- Kes diklasifikasikan bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

