Jasad bomba lemas di Pantai Kandis ditemukan

Ditemui orang awam sejauh tiga kilometer dari lokasi kejadian

Jenazah Allahyarham Badrul Naim dibawa menggunakan kenderaan polis ke hospital.
Jenazah Allahyarham Badrul Naim dibawa menggunakan kenderaan polis ke hospital.
A
A
A

BACHOK – Jasad anggota bomba yang dilaporkan lemas ketika cuba menyelamatkan adiknya di Pantai Kandis, di sini, ditemukan tengah hari Rabu.

Mangsa, Ahmad Badrul Naim Ab Wahab, 32, yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru, Pulau Pinang, ditemukan terdampar di pantai kira-kira jam 12.15 tengah hari pada jarak tiga kilometer dari lokasi beliau dipercayai hilang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Penolong Kanan Penguasa Bomba Ahmad Ridhuan Mohamad Ghazali, berkata mayat mangsa ditemukan orang awam sebelum dibawa ke Pos Operasi Bomba (POB).

Allahyarham Badrul Naim
Allahyarham Badrul Naim

“Mangsa dicam sebagai Ahmad Badrul Naim dan diserahkan kepada polis untuk dibawa ke Hospital Bachok.

“Adik lelaki mangsa berusia 21 tahun yang dikhuatiri lemas masih hilang,” katanya kepada pemberita pada Rabu.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang Selasa, Ahmad Badrul Naim cuba menyelamatkan adiknya, Ahmad Nuruddin, 21, yang dilihat terkapai-kapai namun kedua-duanya ditelan ombak.

Anak saudara mereka, Mohd Ali Al-Imran Mohd Ezad, 12, yang terbabit dalam kejadian sama, berjaya diselamatkan bapanya, Mohd Ezad Abu Hassan, 40, yang terjun ke laut.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Ridhuan berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari kedua pada Rabu digerakkan secara besar-besaran membabitkan 26 anggota bomba termasuk Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA).

Mangsa yang ditemukan ketika operasi pencarian.
Mangsa yang ditemukan ketika operasi pencarian.

“Selain itu, terdapat bantuan 24 anggota daripada agensi lain termasuk polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

“Operasi mengesan Ahmad Nuruddin diteruskan dengan pencarian di sepanjang pesisir pantai sejauh 10 kilometer dari lokasi kejadian,” katanya.

Sementara itu, keadaan laut dilaporkan bergelora dengan ombak setinggi kira-kira satu meter dan fenomena air pasang besar menyukarkan operasi pencarian termasuk penggunaan bot penyelamat pada waktu malam.

Kesemua yang terlibat hadir dalam perkelahan keluarga di pantai itu yang dihadiri kira-kira 20 orang sebelum tragedi berlaku.

Ringkasan AI

  • Jasad anggota bomba yang lemas ketika cuba menyelamatkan adiknya ditemukan di Pantai Kandis
  • Mangsa bernama Ahmad Badrul Naim Ab Wahab, berusia 32 tahun, bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Bayan Baru, Pulau Pinang
  • Mayat mangsa ditemukan oleh orang awam dan diserahkan kepada polis untuk dibawa ke Hospital Bachok
  • Adik lelaki mangsa yang berusia 21 tahun masih hilang
  • Operasi mencari dan menyelamat diteruskan dengan bantuan 26 anggota bomba dan 24 anggota dari agensi lain

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!