Platform e-pengajian digital HayyDeen perluas akses ilmu agama

SUNGAI PETANI – Platform e-pengajian agama secara digital semakin mendapat tempat dalam kalangan umat Islam sebagai medium berkesan untuk meningkatkan kefahaman serta mempelajari ilmu asas agama secara berterusan, khususnya bagi golongan berkerjaya dan keluarga yang mempunyai kekangan masa.
Pengasas HayyDeen, Ustaz Mohamad Wadi Annuar Ayub berkata, inisiatif tersebut diwujudkan bagi memberi peluang pembelajaran ilmu fardu ain secara sistematik melalui platform digital yang sebelum ini sangat terhad di Malaysia.
Menurutnya, sebelum HayyDeen dibangunkan, kajian mendapati hampir tiada platform digital yang menawarkan pengajian fardu ain secara lengkap merangkumi tauhid, fiqah dan tasawuf dalam bentuk yang tersusun dari awal hingga akhir.
"Setiap Muslim wajib mempelajari ilmu fardu ain sebagaimana wajibnya menunaikan solat, berpuasa di bulan Ramadan, membayar zakat dan mengerjakan haji.
"Bezanya, menuntut ilmu fardu ain tidak memerlukan kos yang tinggi, namun menuntut kesungguhan dan istiqamah," katanya ketika berucap pada majlis makan malam khas peserta e-pengajian HayyDeen di Akademi Darul Ilmi (ADI), di sini, pada Isnin.

Mohamad Wadi berkata, HayyDeen ditubuhkan sebagai platform bimbingan agama digital bagi membantu umat Islam mempelajari ilmu asas agama secara berterusan melalui kaedah pembelajaran yang fleksibel dan mudah diakses.
Jelasnya, e-pengajian HayyDeen ditawarkan pada harga berpatutan dengan pakej Basic serendah RM18, manakala pakej Premium hanya RM192 setahun bagi memastikan pembelajaran agama dapat diikuti oleh semua lapisan masyarakat.
Beliau berkata, selain pengajian fardu ain, HayyDeen turut menyediakan pelbagai kandungan pengajian dan silibus lain, termasuk modul baharu bertajuk Syurga yang mengupas tentang syurga sebagai matlamat akhir kehidupan setiap Muslim.
"Selain pengajian fardu ain dan Syurga, HayyDeen akan memperkenalkan lebih banyak kursus lain termasuk pengajian kekeluargaan, keibubapaan dan motivasi bagi menangani tekanan hidup serta isu kesihatan mental.
"HayyDeen menyasarkan sebanyak 12,000 langganan menjelang akhir tahun 2026 selaras dengan usaha memperluaskan akses pembelajaran ilmu agama secara digital kepada masyarakat Islam di Malaysia," katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Pemasaran HayyDeen, Muhammad Irman Safwan berkata, majlis makan malam tersebut diadakan sebagai tanda penghargaan kepada 300 peserta dari seluruh negara yang berjaya menamatkan ketiga-tiga siri utama pengajian fardu ain iaitu tauhid, fiqah dan tasawuf.
Menurutnya, kesemua peserta berjaya menamatkan pengajian dalam tempoh sembilan bulan melalui kaedah pembelajaran digital yang tersusun dan fleksibel.
"Mereka datang dari pelbagai negeri termasuk Perlis, Wilayah Persekutuan, Selangor, Negeri Sembilan dan Johor.
"Kesemua mereka telah berjaya mengikuti lebih 100 episod siri pengajian fardu ain yang disediakan dalam platform e-pengajian HayyDeen," tambahnya.
Salah seorang peserta, Hidayah Husin berkata, platform e-pengajian HayyDeen banyak membantunya menuntut ilmu agama meskipun mempunyai kekangan masa sebagai individu berkerjaya.
“Video yang ringkas, kandungan yang ringan serta penyampaian yang mudah difahami membantu saya mengenal Allah SWT dengan lebih mendalam walaupun jadual harian agak padat,” katanya.
Orang ramai yang ingin melanggan atau mengetahui maklumat lanjut mengenai platform e-pengajian HayyDeen boleh melayari www.hayydeen.com.
Ringkasan AI
- Platform e-pengajian agama secara digital semakin populer di kalangan umat Islam untuk meningkatkan kefahaman agama
- HayyDeen ditubuhkan untuk menyediakan pembelajaran ilmu fardu ain secara tersusun di platform digital
- Pengajian di HayyDeen ditawarkan pada harga berpatutan mulai dari RM18 hingga RM192 setahun
- Selain fardu ain, HayyDeen juga menyediakan kandungan pengajian lain termasuk modul tentang Syurga
- HayyDeen menyasar 12,000 langganan menjelang akhir tahun 2026 untuk memperluas akses pembelajaran agama digital
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

