Umat Islam diingatkan tidak buat perbandingan jejas kemuliaan Rasulullah SAW - Mufti

Ahmad Fauwaz
Ahmad Fauwaz
A
A
A

KUALA LUMPUR - Umat Islam perlu berhati-hati dalam berbahasa dan mengelakkan sebarang kenyataan yang boleh merendahkan martabat Rasulullah SAW, tegas Mufti Wilayah Persekutuan Ahmad Fauwaz Fadzil Noor.

Beliau berkata, tindakan menyandarkan sebarang sifat kelemahan kepada Rasulullah SAW adalah tidak betul dan bertentangan dengan asas akidah Islam.

"Dan jangan ada apa-apa sandaran. Walaupun kita mungkin nak ambil semangat, tetapi tidak betul. Contohnya, kita sebut Rasulullah itu seorang yang miskin, tidak boleh.

"Kita menjatuhkan reputasi seorang Rasul yang begitu agung,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menjadi panel Forum: Bila Boleh Mandi Di Sungai Klang, anjuran Sahabat Sungai Malaysia di Residensi Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur di sini pada Ahad. 

Turut hadir, Presiden Sahabat Sungai Malaysia Prof Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang dan Pengerusi Persatuan Arkitek Malaysia Wilayah Timur Datin Kaniza Shafie.

Beliau berkata demikian bagi mengulas satu hantaran pengguna Facebook yang menyamakan sifat autisme aktivis alam sekitar Greta Thunberg dengan keperibadian Rasulullah SAW yang sekali gus mencetuskan perdebatan dalam kalangan netizen.

Ahmad Fauwaz menasihati individu yang membuat kenyataan sedemikian di media sosial agar perlu segera menarik balik kenyataan terbabit dan bertaubat.

"Mungkin dia sendiri tidak tahu atau jahil, tetapi secara fiqahnya, kita tidak membenarkan mana-mana orang menyandarkan sifat lemah kepada Rasulullah SAW,” katanya. - Bernama 

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Umat Islam perlu berhati-hati dalam berbahasa dan mengelakkan menyandarkan sifat kelemahan kepada Rasulullah SAW
  • Menyandarkan sifat kelemahan kepada Rasulullah SAW adalah bertentangan dengan asas akidah Islam
  • Menjatuhkan reputasi Rasulullah SAW dengan menyebut beliau sebagai miskin adalah salah
  • Kenyataan di media sosial yang menyamakan sifat Rasulullah SAW dengan autisme Greta Thunberg mencetuskan perdebatan
  • Individu yang membuat kenyataan sedemikian disarankan untuk menarik balik kenyataan dan bertaubat

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!