PM wanita pertama Bangladesh, Khaleda Zia meninggal dunia

DHAKA – Bekas Perdana Menteri Bangladesh dan Perdana Menteri wanita pertama negara itu, Begum Khaleda Zia, meninggal dunia pada usia 80 tahun awal pagi Selasa, menurut kenyataan rasmi Parti Nasionalis Bangladesh (BNP).
BNP memaklumkan Khaleda Zia menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 6 pagi waktu tempatan, sejurus selepas solat Subuh.
Parti itu turut menyeru orang ramai mendoakan keampunan dan kesejahteraan buat pemimpin yang dianggap tokoh nasional berpengaruh tersebut.
Khaleda Zia merupakan figura utama politik Bangladesh selama beberapa dekad, dengan persaingan sengitnya bersama Sheikh Hasina membentuk landskap politik negara itu untuk satu generasi.
Beliau mencatat sejarah sebagai wanita pertama dilantik sebagai Perdana Menteri Bangladesh dan berkhidmat dalam dua penggal, masing-masing pada 1991 serta 2001 hingga 2006.
Sepanjang kerjaya politiknya, Khaleda Zia berdepan beberapa pertuduhan rasuah yang didakwanya bermotifkan politik.
Namun, Mahkamah Agung Bangladesh pada Januari 2025 membebaskannya daripada pertuduhan terakhir, sekali gus membuka laluan untuk beliau kembali aktif dalam arena politik.
Beliau pulang ke Bangladesh pada Mei lalu selepas menerima rawatan perubatan di United Kingdom, susulan kebenaran khas diberikan oleh kerajaan sementara negara itu.
Sebelum ini, permohonannya untuk mendapatkan rawatan di luar negara dilaporkan ditolak berulang kali oleh kerajaan terdahulu.
Walaupun bergelut dengan masalah kesihatan dan pernah dipenjarakan, Khaleda Zia menyatakan hasrat untuk berkempen dalam pilihan raya yang dijadualkan berlangsung pada Februari 2026, pilihan raya pertama sejak kejatuhan kerajaan Sheikh Hasina akibat kebangkitan rakyat tahun lalu.
Parti BNP ketika itu dilihat sebagai antara pencabar utama.
Namun, keadaan kesihatannya merosot pada akhir November lalu dan beliau dikejarkan ke hospital sebelum meninggal dunia beberapa minggu kemudian.
Pemimpin sementara Bangladesh, Dr Muhammad Yunus, sebelum ini menggesa rakyat negara itu mendoakan kesembuhan Khaleda Zia dan menyifatkannya sebagai sumber inspirasi besar kepada negara.
Khaleda Zia adalah balu kepada Presiden Ziaur Rahman, yang terbunuh dalam rampasan kuasa pada 1981.
Selepas kematian suaminya, beliau memainkan peranan penting dalam gerakan rakyat menentang pemerintahan tentera sehingga membawa kepada pemulihan demokrasi pada 1990.-Agensi
Ringkasan AI
- Bekas Perdana Menteri Bangladesh dan Perdana Menteri wanita pertama negara itu, Begum Khaleda Zia, meninggal dunia pada usia 80 tahun
- Khaleda Zia meninggal dunia sekitar jam 6 pagi waktu tempatan, selepas solat Subuh
- Beliau merupakan figura utama politik Bangladesh, memegang jawatan Perdana Menteri dalam dua penggal, 1991 dan 2001 hingga 2006
- Sepanjang kariernya, Khaleda Zia berdepan dengan pertuduhan rasuah yang diklaim bermotif politik, tetapi dibebaskan oleh Mahkamah Agung pada Januari 2025
- Walaupun pernah dipenjarakan dan bergelut dengan masalah kesihatan, beliau menyatakan hasrat untuk berkempen dalam pilihan raya yang dijadualkan berlangsung pada Februari 2026
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

