Penduduk derita sedut habuk sisa sawit

MELAKA - Kira-kira 500 penduduk Kampung Balik Bukit, Tanjung Kling terus berdepan isu pencemaran udara didakwa berpunca daripada habuk sisa kelapa sawit disimpan di sebuah gudang di Pelabuhan Tanjung Beruas.
Jika sebelum ini mereka terkesan dengan pencemaran arang batu, masalah terbaharu itu dikatakan berulang dan menjejaskan kualiti hidup harian.
Seorang penduduk, Ramlan Amad, 67, berkata, sumber utama pencemaran datang daripada longgokan sisa kelapa sawit yang disimpan di dalam gudang terbuka sebelum dihantar ke Jepun untuk diproses menjadi karbon.
Menurutnya, pada awal 2024, sisa tersebut ditempatkan di kawasan lapang berhampiran Balai Polis Tanjung Kling yang menyumbang kepada habuk berterbangan.
“Selepas penduduk membuat bantahan dan menghantar surat kepada Datuk Bandar, syarikat terlibat, Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta wakil rakyat, operasi penyimpanan sisa sawit ini dipindahkan ke dalam kawasan pelabuhan.
“Tetapi, cara penyimpanan di stor terbuka yang hanya dilindungi bumbung menyebabkan habuk mudah diterbangkan angin laut ke kawasan perumahan.
“Hampir setiap hari, penduduk terpaksa menghirup habuk terutama ketika cuaca panas dan berangin,” katanya.

Ramlan berkata, penduduk juga terpaksa membersihkan rumah dengan lebih kerap, termasuk kenderaan dan pakaian kerana mudah dipenuhi habuk.
Jelasnya, keadaan itu turut menjejaskan kesihatan disebabkan udara tercemar.
Ujar Ramlan, kawasan industri berdekatan tidak menjadi punca pencemaran, sebaliknya sisa sawit yang disimpan ‘setinggi gunung’ itulah yang menjadi masalah utama penduduk sejak setahun lalu.
Seorang penduduk, Hasbah Ali, 76, berkata, kudratnya yang terbatas menyebabkan beliau terpaksa mengupah orang untuk membersihkan rumah setiap minggu.
“Dulu masalah disebabkan kilang arang batu. Pokok-pokok semuanya hitam. Sekarang kami hadapi masalah yang hampir sama, tetapi kali ini daripada habuk sawit pula.
“Jadi seminggu sekali orang datang basuh, saya bayar upah RM150. Memang nampak habuk tebal bila sudah seminggu tidak disapu.
“Makcik tak boleh menyapu... kalau sapu, bau macam hangit masuk hidung. Itu sebab makcik hanya jirus air. Bila kering memang berhabuk, kalau hujan pula bau busuk masuk rumah. Nak buat macam mana, sudah tinggal di sini terpaksa hadap,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Hamidah Hamid, 72, berkata, selain habuk, penduduk turut berdepan bau kurang menyenangkan seperti bau dedak.
“Setiap pagi saya terpaksa memasang pewangi bagi menghilangkan bau masam. Kalau dibiarkan terlalu lama, bau ini boleh menyebabkan pening kepala.
“Aktiviti luar terhad, rumah pun tidak boleh dibuka sepanjang masa. Terpaksa memasang langsir untuk mengurangkan habuk dan bau masuk ke dalam rumah,” katanya.
Sehubungan itu, Hamidah berharap isu itu dapat diselesaikan segera.
“Makcik sudah lama tinggal di sini, kebanyakan yang menetap pun warga emas. Minta pihak berkaitan memantau dan memperkemas operasi premis berkenaan, kalau boleh dipindahkan ke lokasi yang jauh daripada rumah penduduk,” katanya.

Justeru, penduduk berharap isu pencemaran habuk, bau dan agas daripada operasi penyimpanan serta pemindahan sisa sawit di Pelabuhan Tanjung Beruas dapat diselesaikan segera.
Menurut Mahmud Md Ali, 70, langkah paling penting ialah memastikan syarikat terlibat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepenuhnya, termasuk kaedah pembungkusan produk yang lebih selamat supaya operasi mereka tidak menjejaskan kehidupan penduduk.
"Masalah utama dalam eksport sawit ke luar negara ini ialah kualiti pembungkusan yang kurang memuaskan sehingga menyebabkan bau kuat dan kemunculan agas.
“Keadaan ini menjadi lebih serius apabila produk diperam sebelum dieksport, menyebabkan bungkusan mudah terbuka dan mengundang lebih banyak serangga.
“Bau masih ada walaupun selepas proses di kilang. Kami percaya ia datang dari pelabuhan, terutama semasa pemindahan dari lori ke gudang yang dilakukan secara terbuka, membolehkan bau masuk ke kawasan perumahan,” katanya.
Mahmud berkata, penyelesaian jangka panjang ialah menutup operasi penyimpanan sisa sawit di kawasan terbuka atau memindahkannya ke lokasi yang lebih sesuai dan jauh dari penempatan.
Bagaimanapun, bagi langkah segera, beliau menggesa pihak berkuasa seperti JAS memperketat pemantauan dan turun padang meninjau keadaan sebenar penduduk.
Katanya, beberapa langkah sementara seperti penggunaan guni bagi mengurangkan bau pernah dicadangkan, namun kaedah itu meningkatkan kos operasi dan tidak dilaksanakan sepenuhnya.
Tegasnya, kesusahan penduduk sering tidak disedari pihak luar kerana mereka tidak terdedah kepada keadaan sebenar.
Mahmud berharap semua pihak termasuk kerajaan negeri, JAS dan operator pelabuhan dapat bekerjasama mencari penyelesaian menyeluruh demi kesejahteraan setempat.
Ringkasan AI
- Penduduk Kampung Balik Bukit terkesan dengan pencemaran udara akibat habuk sisa kelapa sawit dari gudang di Pelabuhan Tanjung Beruas
- Pencemaran daripada longgokan sisa kelapa sawit disimpan di gudang terbuka sebelum dihantar ke Jepun
- Walaupun operasi penyimpanan sisa telah dipindahkan, cara penyimpanannya yang terbuka menyebabkan habuk mudah diterbangkan angin ke kawasan perumahan
- Penduduk terpaksa membersihkan rumah dengan lebih kerap dan menghadapi masalah kesihatan akibat udara tercemar
- Penduduk berharap isu ini dapat diselesaikan segera, dengan syarikat terlibat mematuhi SOP pembungkusan produk yang lebih selamat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

