PATI jadikan Kuala Pilah lokasi transit elak operasi Imigresen

Kennith (tengah) menunjukkan statistik bilangan PATI dan warga asing yang ditahan pada tahun 2024 dan 2025
Kennith (tengah) menunjukkan statistik bilangan PATI dan warga asing yang ditahan pada tahun 2024 dan 2025
A
A
A

SEREMBAN – Daerah Kuala Pilah dikesan menjadi pilihan lokasi penempatan sementara pendatang asing tanpa izin (PATI) bagi mengelak operasi penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sembilan (JIMNS).

Pengarah JIMNS, Kennith Tan Ai Kiang berkata, trend itu dikesan sejak dua tahun lalu susulan operasi penguatkuasaan yang giat dijalankan di kawasan Seremban termasuk Nilai.

Menurutnya, kebanyakan PATI akan berpindah ke Kuala Pilah apabila operasi dipertingkatkan sebelum kembali semula ke Seremban selepas merasakan keadaan benar-benar selamat.

“Kita dapati, apabila operasi dipergiatkan di kawasan Seremban termasuk Nilai, ramai yang mula berpindah keluar dan antara tempat yang mereka pergi ialah Kuala Pilah.

“Kedudukan Kuala Pilah yang tidak jauh dari Seremban menjadi antara faktor daerah ini dijadikan sebagai lokasi transit buat mereka dan apabila Seremban kembali tenang (tiada operasi), mereka akan berpindah semula ke sini,” katanya dalam sidang media di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, bagi meneruskan kehidupan, PATI terbabit akan bekerja di sektor pertanian seperti menjaga ternakan atau di kawasan ladang.

Selain itu, katanya, Seremban kekal menjadi lokasi ‘hotspot’ warga asing di Negeri Sembilan dengan 1,580 PATI direkodkan ditahan atas pelbagai kesalahan sepanjang aktiviti penguatkuasaan tahun lalu.

“Ia membabitkan pemeriksaan terhadap 20,155 warga asing dalam 581 operasi yang dilaksanakan.

“Port Dickson menjadi daerah kedua tertinggi jumlah tangkapan iaitu 298 PATI, diikuti Tampin (62), Rembau (57), Kuala Pilah (31), Jempol (30) dan Jelebu (20),” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, seramai 93 majikan telah ditahan tahun lalu, meningkat berbanding 71 majikan pada tahun sebelumnya.

Kata Kennith, daripada jumlah tersebut, seramai 65 majikan telah dikenakan kompaun tahun ini berbanding hanya 13 majikan yang dikenakan tindakan sama pada tahun lalu.

Beliau turut memaklumkan pihaknya tidak akan berkompromi dengan majikan yang menggajikan pekerja asing tanpa permit sah, di samping memastikan tindakan tegas termasuk pendakwaan akan dikenakan terhadap mereka.

Ringkasan AI

  • Daerah Kuala Pilah menjadi lokasi penempatan sementara pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk mengelak operasi penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sembilan
  • Trend berpindah PATI ke Kuala Pilah sudah terjadi sejak dua tahun lalu
  • PATI berpindah ke Kuala Pilah ketika operasi penguatkuasaan ditingkatkan di Seremban dan Nilai
  • PATI bekerja di sektor pertanian seperti menjaga ternakan atau ladang semasa berada di Kuala Pilah
  • Serampan direkodkan sebagai lokasi dengan tangkapan PATI tertinggi di Negeri Sembilan tahun lalu, diikuti oleh Port Dickson

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!