Penduduk Kampung Papan Pandamaran terkejut, rumah berpenghuni turut diroboh

KLANG – Sebanyak 20 rumah penduduk di Kampung Papan, Pandamaran di sini dirobohkan sejak Isnin bagi memberi laluan kepada projek pembangunan yang bakal dilaksanakan pemaju.
Penduduk, Low Siew Lam, 55, berkata, kerja-kerja perobohan dimulakan kira-kira jam 9.30 pagi dengan kehadiran pihak berkuasa dan pasukan polis bagi mengawal keadaan.
Menurutnya, tindakan itu mengejutkan penduduk kerana terdapat rumah yang masih berpenghuni turut dirobohkan.
"Arahan sepatutnya hanya rumah kosong yang boleh diroboh, tetapi ada juga kediaman berpenghuni menerima nasib sama," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Siew Lam mendakwa, operasi perobohan itu dijalankan tanpa makluman jelas kepada sebahagian penduduk yang masih menetap di kawasan terbabit.
Sementara itu, Penyelaras Gabungan Marhaen, S. Arutchelvan atau Arul berkata, operasi itu dijangka diteruskan selama empat hari.
Katanya, operasi pada Selasa memasuki hari kedua dan pihaknya kesal apabila pelaksanaan perobohan turut membabitkan rumah yang masih didiami penduduk.
Ujar beliau, penduduk sebelum ini dimaklumkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari hanya membenarkan rumah kosong diroboh, namun pihak terbabit bertindak melangkaui arahan tersebut.
"Tindakan ini menyebabkan beberapa keluarga kehilangan tempat berteduh dan terpaksa mencari alternatif sementara.
"Ada penyewa yang terpaksa berpindah tergesa-gesa, manakala ada juga yang tidak sempat membuat persediaan.
"Kami berharap pihak bertanggungjawab mempertimbangkan nasib penduduk dan mematuhi arahan Menteri Besar," tambah beliau.
Ringkasan AI
- Rumah penduduk di Kampung Papan, Pandamaran dirobohkan untuk projek pembangunan
- Perobohan dimulakan dengan kehadiran pasukan polis
- Rumah yang masih berpenghuni turut diroboh tanpa makluman jelas
- Operasi perobohan dijangka berlangsung selama empat hari
- Penduduk kesal kerana pelaksanaan melangkau arahan hanya membenarkan rumah kosong diroboh
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

