Inovasi berkhatan moden diiktiraf

DARIPADA usaha kecil menghasilkan penyelesaian mudah untuk klinik, kini ciptaan tempatan Ismail Clamp menjadi antara peranti berkhatan inovatif dan mula menembusi pasaran ASEAN.
Pengarah Urusan dan Pengasas Bersama DRIMS Trading Sdn Bhd, Mohd Haniff Hanizam berkata, Ismail Clamp dibangunkan bagi mempercepatkan proses berkhatan dengan cara lebih selamat, bersih dan efisien tanpa memerlukan jahitan.
Beliau berkongsi, kejayaan itu tidak datang sekelip mata sebaliknya bermula daripada cita-cita peribadi dan usaha keluarga yang mahu memperkenalkan kaedah berkhatan alternatif yang lebih cepat dan selamat di pasaran tempatan.
“Idea ini lahir daripada impian asal saya untuk menjadi seorang doktor namun takdir membawa saya menyambung pengajian dalam bidang perbankan di luar negara. Akhirnya kedua-dua dunia ini saya satukan melalui keusahawanan dalam membantu proses pembedahan berkhatan.
“Ismail Clamp ialah peranti pakai buang yang diperkenalkan oleh bapa saudara sebelum jatuh sakit, namun penyelidikan dan pembangunan (R&D) produk itu belum sempat disempurnakan.
“Selepas mengambil alih syarikat, saya meneruskan usaha itu dengan menambah baik reka bentuk serta daya saing produk supaya ia lebih diterima di pasaran,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Tambahnya, keunikan Ismail Clamp bukan hanya pada fungsi asasnya tetapi pada reka bentuk tiga komponennya yang menggunakan acuan berteknologi tinggi dari Belgium dan Jerman, menjadikannya peranti pertama di Malaysia menggunakan struktur tersebut.
“Kami memilih reka bentuk tiga bahagian kerana ia memberi fleksibiliti kepada doktor untuk mengawal potongan kulit secara lebih tepat sekali gus mengurangkan risiko komplikasi seperti kecederaan pada bahagian sensitif.
“Selain itu, penggunaan ‘clamp’ ini membantu mengelakkan kes jangkitan atau pendarahan kerana ia tidak memerlukan tenaga elektrik atau jahitan malah boleh digunakan di kawasan luar bandar yang terhad kemudahan fasiliti perubatannya,” jelasnya.
Beliau berkata, inovasi itu membolehkan prosedur berkhatan disiapkan dalam tempoh hanya lima hingga 10 minit berbanding kaedah konvensional yang boleh mengambil masa antara 30 hingga 45 minit.
Menembusi pasaran ASEAN
Mohd Haniff berkata, DRIMS Trading kini berjaya melebarkan sayap produk Ismail Clamp ke pasaran ASEAN hasil strategi pembangunan rangkaian dan pemahaman mendalam terhadap keperluan serantau.
“Proses membina rangkaian di peringkat ASEAN mengambil masa kira-kira lima tahun yang mana kami melakukan penyelidikan holistik untuk mengenal pasti potensi sebenar pasaran serta mengurus risiko secara komprehensif.
“Selain itu, penglibatan aktif dalam industri tempatan menjadi kunci untuk mewujudkan permintaan produk kami di peringkat serantau dan memastikan Ismail Clamp diterima baik oleh pengguna,” ujarnya.
Sebagai usahawan muda, Mohd Haniff mengakui cabaran utama dalam industri perubatan ialah mendapatkan ilmu serta kepakaran dalam bidang perubatan dan pembuatan bagi memastikan perniagaannya kekal relevan meskipun berdepan kekangan modal serta pasaran perlahan.

“Industri perubatan jauh berbeza daripada sektor lain kerana memerlukan tempoh panjang untuk memperoleh pulangan pelaburan (ROI), berbeza dengan industri makanan yang mampu mencapai pulangan dalam tempoh satu hingga tiga tahun.
“Proses itu turut menuntut pematuhan ketat kepada badan pengawal selia seperti Kementerian kesihatan Malaysia (KKM) melalui selian Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) sekali gus memerlukan perbelanjaan yang besar.
"Disebabkan kos tinggi, ramai usahawan tempatan kurang berani menceburi bidang ini kerana ROI dalam industri perubatan tidak dapat dijangka dalam tempoh singkat,” ujarnya.
Pengiktirafan antarabangsa dan jurnal berimpak tinggi
Ketabahan Mohd Haniff dan pasukannya akhirnya membuahkan hasil apabila Ismail Clamp bukan sahaja diiktiraf dalam negara malah turut diterbitkan dalam empat jurnal berimpak tinggi dari Afrika, Thailand, KKM dan ‘Master the Art of Circumcision’ oleh Professor Dr Mohamad Saleh.
“Apabila penyelidikan kami diterbitkan dalam jurnal yang menilai aspek keselamatan serta keberkesanan produk tersebut, itu bukti saintifik bahawa produk tempatan mampu menepati piawaian global dan diiktiraf oleh komuniti perubatan dunia.
“Pengiktirafan itu menjadi pemangkin kepada kerjasama lebih luas dengan pakar serta institusi kesihatan di luar negara bagi memperluas penggunaan Ismail Clamp,” ujarnya.
Beliau berkata, Ismail Clamp turut meraih tempat pertama anugerah SAY ASPIRE 6th Edition 2025, mengiktiraf keupayaan DRIMS Trading sebagai syarikat tempatan terawal memperkenalkan teknologi berkhatan tanpa jahitan yang menepati piawaian antarabangsa.
“Kemenangan ini memberi impak positif kepada capaian pasaran antarabangsa apabila saya dijemput menyertai pembukaan reruai di Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS).
“Melalui penyertaan tersebut, orang ramai mula mengenali jenama ini sebagai produk buatan Malaysia yang mampu bersaing dengan jenama import selain memahami dengan lebih jelas keunikan alat berkenaan dalam membantu proses pembedahan berkhatan,” katanya.
Mohd Haniff berkongsi, dari segi jualan, DRIMS Trading mencatat prestasi tahunan antara RM40,000 hingga RM60,000 sejak 2022, hasil strategi mengekalkan daya saing harga dan kualiti produk yang tinggi.
“Strategi utama di pasaran tempatan adalah memastikan harga kompetitif disertai dengan kualiti produk yang terjamin sekali gus meningkatkan kepercayaan doktor terhadap jenama Ismail Clamp. Dengan reputasi kukuh, jenama ini terus berkembang di pasaran tempatan.
“Sokongan pembiayaan dari Yayasan Hijrah Selangor sangat membantu dari sudut aliran tunai syarikat. Impaknya jelas dari segi peningkatan daya saing, memperbaiki proses pengeluaran produk serta menjayakan strategi pemasaran lebih dinamik,” jelasnya.

Mohd Haniff turut menegaskan bahawa sokongan daripada agensi kerajaan lain amat bernilai bagi syarikat peranti perubatan yang memerlukan kos operasi tinggi.
“Geran atau bantuan pembiayaan membolehkan kami mengurus operasi dengan lebih teratur dan membuka peluang untuk meneroka pasaran antarabangsa.
“Ia sangat penting untuk memastikan syarikat tempatan dan usahawan bumiputera mampu berkembang lebih jauh,” katanya.
Ditanya mengenai harapan dan hala tuju syarikat, Mohd Haniff menegaskan bahawa fokus utama kini adalah membawa jenama Ismail Clamp menembusi pasaran global sekali gus mengangkatnya sebagai produk tempatan yang mampu berdiri setanding jenama antarabangsa.
“Kolaborasi dengan pemain industri perubatan serta adaptasi teknologi terkini menjadi strategi utama kami untuk menembusi pasaran serantau. Kami sudah memasuki pasaran Filipina, Brunei dan Thailand yang mengiktiraf keselamatan serta keberkesanan produk ini.
“Kini, kami hanya memerlukan sokongan daripada beberapa agensi kerajaan seperti Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) untuk membuka lebih banyak peluang di antara negara,” ujarnya.
Tambah Mohd Haniff, beliau kini memberi tumpuan untuk memperkukuh kedudukan Ismail Clamp sebagai jenama pilihan utama dalam bidang berkhatan bukan sahaja di Malaysia bahkan di seluruh rantau ASEAN.
“Matlamat saya jelas iaitu menjadikan Ismail Clamp jenama yang sinonim dengan proses berkhatan, seperti mana ‘Maggi’ sinonim dengan mi segera.
“Visi ini bukan sekadar mengejar keuntungan semata-mata sebaliknya usaha membina legasi tempatan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa,” ujarnya beliau.
Ringkasan AI
- Ismail Clamp adalah ciptaan tempatan yang menjadi peranti berkhatan inovatif dan mendapat tempat di pasaran ASEAN
- Dibangunkan untuk mempercepatkan proses berkhatan secara selamat dan efisien tanpa jahitan
- Menggunakan reka bentuk tiga komponen yang meminimalkan risiko komplikasi dan jangkitan
- Membolehkan prosedur berkhatan disiapkan dalam masa 5 hingga 10 minit berbanding kaedah konvensional
- Menerima pengiktirafan internasional dan diterbitkan dalam empat jurnal berimpak tinggi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
