Horseperity Market hidupkan Tahun Baharu Cina dengan pengalaman sosial, budaya unik

Pembukaan Horseperity Market disempurnakan oleh Pengerusi Kumpulan Hextar, Datuk Ong bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Hextar, Datuk Eddie Ong di Plaza Hextar World Empire City di Kuala Lumpur.
Pembukaan Horseperity Market disempurnakan oleh Pengerusi Kumpulan Hextar, Datuk Ong bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Hextar, Datuk Eddie Ong di Plaza Hextar World Empire City di Kuala Lumpur.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bungkuslab Connect dan Zen Capital menganjurkan Horseperity Market yang menawarkan pengalaman pasar perayaan yang menggabungkan budaya, gaya hidup dan interaksi sosial bandar di Plaza Hextar World Empire City di sini.

Pasar berkonsepkan kuratorial yang berlangsung sehingga 22 Februari ini mewujudkan ruang awam Tahun Baharu yang mesra, selesa dan menggalakkan orang ramai untuk singgah, berinteraksi serta berkongsi keceriaan perayaan.

Majlis perasmian yang disempurnakan oleh Pengerusi Kumpulan Hextar, Datuk Ong Soon Ho bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Hextar, Datuk Eddie Ong itu berlangsung dengan meriah sekali gus melambangkan permulaan baik dan perpaduan komuniti dalam menyambut tahun yang penuh harapan dan tenaga positif.

Pengasas Bungkuslab Connect, Kenzo Lim berkata, pemilihan lokasi itu bukan sahaja berdasarkan reka bentuk moden dan unik tetapi suasananya lapang serta selesa dalam persekitaran bandar yang padat.

Beliau menegaskan bahawa Horseperity Market tidak bertujuan mengejar skala besar atau jumlah pengunjung jangka pendek, sebaliknya berfungsi sebagai platform berisiko rendah untuk menginkubasi bakat dan jenama.

“Kami berharap pasar ini dapat menjadi medan pembelajaran dan pertumbuhan bagi para usahawan baharu, membolehkan jenama tempatan menguji kedudukan serta maklum balas pasaran sebenar.

"Bagi jenama berskala sederhana hingga besar, penyertaan dalam pasar ini membuka peluang untuk menembusi kelompok pasaran baharu serta membina kerjasama kreatif bersama jenama tempatan yang sedang berkembang," ujarnya.

Kenzo turut menafikan tanggapan bahawa Horseperity Market merupakan pasar malam premium.

"Ia bukan sekadar pasar malam bertaraf tinggi tetapi merupakan platform interaksi yang dibentuk oleh masyarakat, ruang dan peniaga dalam satu ekosistem sosial," katanya.

Artikel Berkaitan:

Seiring dengan program Tahun Baharu Cina yang Horseperity Market turut mempersembahkan rangkaian aktiviti budaya yang menggabungkan elemen tradisional dan moden, membolehkan pengunjung menikmati suasana perayaan yang meriah sama ada di dalam pusat beli-belah atau di ruang pasar terbuka.

Antara pengisian menarik sepanjang tempoh penganjuran termasuklah persembahan muzik tradisional, instrumental perayaan, tarian singa, upacara Dewa Kekayaan memetik rezeki, nyanyian secara langsung, muzik akustik, permainan interaktif untuk keluarga dan perarakan maskot Tahun Melawat Malaysia 2026.

Horseperity Market menghimpunkan pelbagai jenama terkenal dan peniaga unik, termasuk Hokee (MixStore), MoneyX, World Gourmet, Hai Di Lao, Kopi Hut, Kanika (Malaysia), Joymom, Cuckoo, Public Bank dan banyak lagi, yang menyumbang secara kreatif dalam membentuk pengalaman pasar.

Pengeluar biskut terkemuka di Malaysia, Tatawa turut menyokong inisiatif itu dengan menyediakan peluang pekerjaan inklusif kepada golongan kurang bernasib baik, membolehkan mereka terlibat secara aktif dan berinteraksi dengan masyarakat.

Penganjur dan Pengasas Zen Capital, Regine Lim berkata, peranan jenama bukan sekadar membuka gerai sebaliknya menjadi sebahagian daripada keseluruhan pengalaman perayaan, bersama-sama membentuk suasana gaya hidup Tahun Baharu yang menyeluruh.

Sementara itu, Eddie Ong ketika berucap menekankan kepentingan trend baharu integrasi sumber dan perkongsian platform.

Menurut beliau, perniagaan masa kini tidak lagi beroperasi secara bersendirian, sebaliknya berkembang melalui kerjasama strategik bagi mencapai kejayaan bersama.

"Ekosistem ini membolehkan usahawan muda yang sedang meningkat naik memanfaatkan sumber dan pengalaman syarikat mapan, seterusnya mempercepat pertumbuhan dan memperluas potensi mereka," katanya.

Pada sama, penganjur dan pengasas Zen Capital, Lawrence Choong turut merakamkan penghargaan khas kepada hampir 160 pemimpin perniagaan yang hadir yang bukan sahaja meningkatkan keyakinan para peniaga, malah membolehkan jenama merasai secara langsung ekosistem perniagaan yang dibentuk melalui pasar tersebut.

Ringkasan AI

  • Horseperity Market di Plaza Hextar World Empire City menawarkan pengalaman pasar perayaan yang menggabungkan budaya dan gaya hidup
  • Pasar itu bertujuan sebagai platform berisiko rendah untuk menginkubasi bakat dan jenama tempatan
  • Menyediakan peluang bagi jenama dan usahawan untuk menguji kedudukan serta mendapat maklum balas pasaran
  • Mempersembahkan rangkaian aktiviti budaya yang menggabungkan elemen tradisional dan moden
  • Menghimpunkan pelbagai jenama terkenal dan peniaga unik serta menyokong inisiatif pekerjaan inklusif

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!