Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS susulan pengambilan untung

Ringgit turun kepada 3.9060/9115 berbanding dolar AS daripada 3.8995/9060 ketika ditutup semalam - Gambar hiasan
Ringgit turun kepada 3.9060/9115 berbanding dolar AS daripada 3.8995/9060 ketika ditutup semalam - Gambar hiasan
A
A
A

RINGGIT ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat berikutan pelabur mengambil keuntungan selepas unit tempatan mencecah paras tertinggi baharu semalam, menjelang minggu dagangan singkat susulan cuti perayaan Tahun Baharu Cina.

Mata wang tempatan mencecah 3.8995 berbanding dolar AS pada Khamis, menghampiri paras paling kukuh dalam tempoh hampir lapan tahun, kali terakhir ringgit mencapai paras 3.8965/8995 adalah pada 23 April, 2018.

Pada jam 6 petang, ringgit turun kepada 3.9060/9115 berbanding dolar AS daripada 3.8995/9060 ketika ditutup semalam, namun diniagakan tinggi berbanding kebanyakan mata wang utama lain.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi suku keempat 2025 adalah lebih tinggi pada 6.3 peratus berbanding unjuran, manakala pertumbuhan setahun penuh 2025 pada 5.2 peratus pula jauh mengatasi unjuran rasmi.

"Oleh itu, prestasi cemerlang ringgit adalah sejajar dengan pencapaian makroekonomi,” katanya kepada Bernama.

Menerusi pengumuman KDNK suku keempat 2025 hari ini, Bank Negara Malaysia (BNM) menjelaskan pencapaian KDNK Malaysia yang lebih baik berbanding unjuran itu dipacu oleh permintaan domestik yang kukuh serta prestasi eksport yang memberangsangkan.

Gabenor BNM, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, pertumbuhan perbelanjaan isi rumah adalah lebih tinggi, didorong oleh keadaan pasaran buruh yang positif serta sokongan dasar berkaitan pendapatan.

Beliau berkata, mata wang tempatan meningkat 3.9 peratus berbanding dolar AS pada suku keempat 2025, didorong oleh faktor luaran dan domestik.

Sementara itu, Kementerian Kewangan menjelaskan bagi tahun kedua berturut-turut, Kerajaan MADANI berjaya mengecilkan defisit fiskal melebihi sasaran kepada 3.7 peratus, berbanding unjuran awal 3.8 peratus (2024: 4.1 peratus).

Artikel Berkaitan:

Pada akhir dagangan, ringgit lebih tinggi berbanding beberapa mata wang utama.

Unit domestik meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.5435/5474 daripada 2.5499/5543 ketika ditutup pada Khamis dan lebih stabil berbanding euro kepada 4.6325/6390 daripada 4.6346/6423.

Ringgit turut meningkat berbanding pound British kepada 5.3211/3286 daripada 5.3220/3309.

Bagaimanapun, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang negara ASEAN.

Unit tempatan naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0904/0950 daripada 3.0931/0985 ketika ditutup semalam, dan lebih tinggi berbanding baht Thailand kepada 12.5607/5849 daripada 12.5998/6273.

Bagaimanapun, ringgit susut berbanding rupiah Indonesia kepada 231.9/232.4 daripada 231.7/232.2 dan lebih rendah berbanding peso Filipina kepada 6.73/6.74 daripada 6.71/6.72. - Bernama

Ringkasan AI

  • Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika
  • Mata wang tempatan mencapai paras kukuh dalam tempoh hampir lapan tahun
  • Prestasi ekonomi Malaysia melebihi unjuran dengan pertumbuhan ekonomi suku keempat 2025 pada 6.3%
  • Pertumbuhan ekonomi dipacu oleh permintaan domestik yang kukuh dan prestasi eksport
  • Ringgit meningkat berbanding beberapa mata wang utama di penghujung dagangan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!