NHCCE 2025 pacu kemahiran, inovasi dan kepimpinan di pentas ASEAN

Platform utama pembangunan modal insan negara, Persidangan & Pameran Modal Insan Kebangsaan (NHCCE) 2025 kembali lagi pada tahun ini dengan tema ‘Menerajui Revolusi Modal Insan’.
Acara berprestij yang menghimpunkan pemimpin, pakar dan pengamal lokal serta seluruh dunia itu bakal berlangsung pada 6 hingga 8 Oktober ini bertempat di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.
Program anjuran Human Resource Development Corporation (HRD Corp) dengan sokongan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) itu mencerminkan keperluan mendesak organisasi dan ekonomi untuk menyesuaikan diri, berinovasi seterusnya berkembang maju dalam dunia yang berubah dengan pantas.
Menurut kenyataan HRD Corp, persidangan tersebut akan meneliti bagaimana perubahan pesat teknologi, tuntutan kelestarian, perubahan demografi dan mobiliti bakat rentas sempadan sedang mentakrifkan semula dunia pekerjaan.
“Sebagai salah satu platform utama di bawah Tahun Kemahiran ASEAN (AYOS) 2025 yang selaras dengan Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia, persidangan ini akan memberi tumpuan kepada perjalanan ASEAN dalam menangani cabaran seperti jurang infrastruktur dan penyertaan tenaga kerja, di samping merebut peluang dalam transformasi digital, mobiliti bakat serta kemahiran hijau.

“Ini menjadikan NHCCE 2025 bukan sahaja mercu tanda bagi Malaysia, tetapi juga sebuah platform serantau untuk memperkukuh ekosistem kemahiran sekali gus memacu kemakmuran bersama di seluruh Asia Tenggara,” katanya.
NHCCE 2025 kali ini akan menampilkan barisan penceramah terkemuka, diterajui oleh ahli fi zik yang juga futuris terkenal dunia, Dr Michio Kaku; Pengasas yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Mindvalley, Vishen Lakhiani dan bekas pemandu F1 yang juga pemenang Grand Prix sebanyak 13 kali, David Coulthard.
Ia juga akan disertai oleh penerima anugerah Peabody yang juga wartawan, penulis dan hos televisyen, Mariana Atencio; Pengerusi PEMANDU Associates, Dato’ Sri Idris Jala dan ikon skuasy negara, Datuk Nicol David.
Turut hadir, pendidik prestasi unggul kepada Fortune 500 dan pakar strategi kepimpinan, Dr Shadé Zahrai dan jurulatih kepimpinan yang juga konduktor orkestra, Jason Lai bersama ramai lagi penceramah, ahli panel dan moderator tersohor.
Nama-nama berkenaan akan membincangkan strategi untuk mengemudi revolusi modal insan, bermula daripada membina tenaga kerja bersedia masa depan hingga memacu transformasi digital, perniagaan mampan dan kepimpinan inklusif.
Mengulas lanjut, HRD Corp memberitahu, para delegasi akan mendapat manfaat daripada jaringan rangkaian BizMatch, pameran interaktif, sesi fireside chat dan pocket talk yang menawarkan instrumen praktikal, kajian kes dunia sebenar serta peluang kerjasama merentasi industri.

“Ketika industri terus berubah di bawah pengaruh kecerdasan buatan (AI), NHCCE 2025 komited menekankan peranan utama modal insan dalam memacu kemajuan ekonomi.
“Menerusi pendigitalan dan ekonomi hijau, persidangan itu akan menyediakan platform untuk pertukaran ilmu dan kerjasama bagi memastikan Malaysia dan ASEAN kekal di barisan hadapan revolusi modal insan,” tambahnya.
Pendaftaran untuk NHCCE 2025 kini dibuka. Untuk maklumat lanjut atau memuat turun brosur persidangan, sila layari hrdcorp.gov.my/nhcce.
Untuk rekod, HRD Corp merupakan agensi peneraju kerajaan bagi pembangunan modal insan di bawah KESUMA dan diurus selia oleh Akta Pembangunan Sumber Manusia Berhad 2001 (Akta PSMB 2001).
HRD Corp bertanggungjawab terhadap kutipan dan pentadbiran levi pembangunan sumber manusia melalui Kumpulan Wang Pembangunan Sumber Manusia (KWPSM).
Tanggungjawab tersebut merangkumi usaha menggalakkan latihan, latihan semula, peningkatan kemahiran pekerja, perantis dan pelatih demi menyelaraskan keupayaan mereka dengan keperluan majikan serta aspirasi negara untuk membangunkan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
Usaha berkenaan memastikan tenaga kerja tempatan kekal berdaya saing, di samping mampu menyesuaikan diri dengan tuntutan ekonomi semasa dan masa depan.
HRD Corp juga memainkan peranan penting dalam memperkukuh pasaran latihan dalam negara, memacu inovasi, kualiti dan akses inklusif kepada pembangunan kemahiran di seluruh negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
