Muhammad Niyaz perlu dana lebih RM34,000 untuk pembedahan

PEKAN – Bernafas melalui mulut dan tidur dengan mata separuh terbuka menjadi sebahagian daripada kehidupan seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang menghidap Crouzon Syndrome sejak dilahirkan.
Bapanya, Mohd Fazrul Razduan Kamaruzaman, 43, berkata, anak sulungnya, Muhammad Niyaz Furqan lahir dengan kecacatan fizikal pada struktur muka dan tengkorak kepala, sekali gus menjejaskan pernafasan dan penglihatannya.
“Struktur tulang dia (Muhammad Niyaz) tak betul, mata terkeluar, lubang (saluran) hidung tiada, sekarang ini perlu melakukan pembedahan besar.
"Tidak silap ke empat atau ke lima, saya pun tak berapa hendak ingat,' katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Sri Maulana di sini pada petang Isnin.

Dia yang merupakan pembantu pasar malam memberitahu, keadaan Muhammad Niyaz semakin membimbangkan kerana saluran hidungnya semakin sempit akibat lebihan tulang menyebabkan pernafasan terganggu.
“Pernafasan dia hanya melalui mulut tidak ikut hidung sebab saluran ikut hidung sempit.
"Lepas itu mata dia (waktu) tidur terbuka dan tidak boleh tutup sebab 'soket' bawah ini (mata) tak ada tulang dan hanta bergantung pada kulit saja dengan urat-urat sahaja," ujarnya.
Beliau menjelaskan pembedahan diperlukan bagi membetulkan pernafasan dan membina semula struktur mata.
“Dia kena buat pembedahan ini untuk membetulkan pernafasan dia, lepas itu struktur mata terkeluar dan bahagian bawah biji mata tiada tulang sebab tak ada 'soket' mata.
"Jadi, besi itu (peralatan khas berupa kerangka besi) kena beli daripada luar negara dan memerlukan kos yang tinggi iaitu RM34,000 lebih,” tambahnya.

Mohd Fazrul Razduan berkata, pembedahan dijadualkan pada 26 Januari 2026 di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bertujuan mengedepankan tulang midface bagi memperbaiki tisu saluran pernafasan dan membina semula struktur mata.
Ujarnya, namun setakat ini hanya berjaya mengumpul sekitar RM13,000 hasil daripada sumbangan orang ramai dan simpanan keluarga.
“Saya bekerja sendiri ikut orang berniaga di pasar malam, jual air balang dan keropok lekor, gaji harian hanya RM70 hingga RM80.
"Kalau bawa anak ke hospital, memang saya tidak bekerja dua hari,” katanya.
Beliau menambah, keluarga itu perlu berulang-alik dari Pekan ke Kuala Lumpur sekurang-kurangnya dua kali sebulan untuk rawatan susulan dengan kos perjalanan sekitar RM1,500 sebulan.
“Ubat mata sahaja hampir RM400 sebulan termasuk titisan dan semburan. Isteri saya penjawat awam, tetapi pendapatan kami banyak digunakan untuk rawatan,” katanya yang turut mempunyai seorang lagi anak berusia tiga tahun.
Sementara itu, Muhammad Niyaz mengakui terpaksa bernafas melalui mulut setiap masa, namun tetap cuba menjalani kehidupan seperti rakan seusianya.
“Saya bernafas ikut mulut dan kalau hendak tidur pun kena buka mulut.
"Mata sebelah kiri memang tidak nampak, tapi saya masih boleh belajar dan pergi sekolah,” katanya yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Seri Biram, di sini.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi Mohd Fazrul di talian 019-9454546 atau menyalurkan bantuan ke akaun Agrobank atas nama Mohd Fazrul Razduan (2007531000126297) atau Bank Rakyat atas nama Norzati Iwani (2245410802).
Ringkasan AI
- Kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun menghidap Crouzon Syndrome sejak dilahirkan
- Struktur tulang muka tidak betul menyebabkan masalah pernafasan dan penglihatan
- Muhammad Niyaz perlu melakukan pembedahan besar untuk membetulkan pernafasan dan struktur mata
- Pembedahan dijadualkan pada 26 Januari 2026 memerlukan kos RM34,000
- Keluarga telah mengumpul sekitar RM13,000 melalui sumbangan orang ramai dan simpanan keluarga
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

