UOB tidak kenakan faedah kompaun pinjaman semasa tempoh moratorium

UOB Malaysia. Foto Sumber Internet
UOB Malaysia. Foto Sumber Internet
A
A
A

KUALA LUMPUR - United Overseas Bank (Malaysia) Bhd (UOB Malaysia) tidak akan mengenakan faedah kompaun ke atas pinjaman dan gadai janji bagi semua pelanggan individu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang layak semasa tempoh moratorium selama enam bulan.

UOB Malaysia dalam satu kenyataan hari ini berkata, bagi pelanggan perbankan Islamnya, bank itu akan terus mematuhi prinsip Syariah untuk tidak mengkompaunkan keuntungan ke atas kemudahan pembiayaan Islam.

"Semua pelanggan individu dan PKS tidak perlu memohon kerana mereka layak secara automatik di bawah langkah-langkah bantuan BNM (Bank Negara Malaysia). Pinjaman dan gadai janji mereka tidak akan dikenakan faedah kompaun semasa tempoh moratorium,” bank itu.

Ini bermakna faedah/keuntungan terakru semasa tempoh itu tidak akan dikenakan faedah dan bank tidak akan mengenakan bayaran penalti lewat ke atas amaun tertangguh.

Menerusi langkah bantuan tambahan ini yang akan berkuat kuasa 1 April, 2020, UOB Malaysia berharap akan dapat meringankan bebanan kewangan pelanggan mereka.

Bagi pelanggan individu dan PKS yang memilih untuk meneruskan pembayaran, mereka hanya perlu memaklumkan kepada bank.

Sementara itu, bagi pelanggan korporat yang tidak berada di bawah skop langkah-langkah moratorium secara automatik, mereka boleh mengemukakan permintaan moratorium menerusi Pengurus Perhubungan UOB mereka.

Selain itu, UOB Malaysia juga akan menyerap bayaran yang dikenakan kepada pelanggan apabila mereka menggunakan mesin teler automatik (ATM) bank lain untuk mengeluarkan wang tunai daripada akaun bank UOB bank mereka.

Artikel Berkaitan:

UOB Malaysia akan terus menilai langkah-langkah bantuan secara kerjasama dengan BNM untuk menyediakan bantuan kewangan mencukupi kepada pelanggan perbankan konvensional dan perbankan Islamnya. - Bernama