Hotel di Jepun tolak tempahan warga Israel

Demonstrasi Bebaskan Palestin oleh penduduk Jepun, peningkatan penindasan Israel ke atas penduduk Palestin meningkatkan sentimen kebersamaan di pelbagai negara termasuk di Jepun.-Agensi
Demonstrasi Bebaskan Palestin oleh penduduk Jepun, peningkatan penindasan Israel ke atas penduduk Palestin meningkatkan sentimen kebersamaan di pelbagai negara termasuk di Jepun.-Agensi
A
A
A

NAGANO – Sebuah hotel di wilayah Nagano, Jepun dilaporkan menolak permohonan tempahan daripada sebuah syarikat pelancongan Israel, dengan alasan tidak berpuas hati terhadap tindakan Israel ke atas rakyat Palestin.

Menurut laporan media tempatan, insiden itu berlaku pada Oktober lalu ketika pengurusan hotel berkenaan menyatakan ketidaksetujuan terhadap tindakan ketenteraan Israel di Gaza dalam komunikasi menerusi media sosial bersama syarikat pelancongan tersebut.

Susulan kenyataan itu, tempahan berkenaan tidak diteruskan.

Tindakan hotel terbabit mencetuskan bantahan rasmi daripada Kedutaan Israel di Jepun, yang mengemukakan surat protes kepada kerajaan wilayah Nagano pada 21 Oktober lalu.

Kedutaan itu menegaskan bahawa penolakan berdasarkan kewarganegaraan adalah tidak boleh diterima dan bercanggah dengan undang-undang perniagaan hotel Jepun.

Hasil siasatan kerajaan wilayah Nagano mendapati tindakan hotel berkenaan boleh ditafsirkan sebagai penolakan berasaskan kewarganegaraan, sekali gus melanggar peruntukan undang-undang yang melarang penginapan menolak pelanggan tanpa alasan munasabah.

Susulan itu, pihak berkuasa mengeluarkan teguran lisan kepada pengendali hotel berkenaan.

Bagaimanapun, kerajaan wilayah memaklumkan bahawa hotel tersebut pernah menerima tetamu dari Israel sebelum ini, dan faktor itu diambil kira dalam keputusan untuk tidak mengenakan tindakan lebih keras.

Duta Israel ke Jepun, Gilad Cohen, menyifatkan sebarang bentuk pengecualian atau penolakan berdasarkan kewarganegaraan sebagai satu bentuk diskriminasi, namun menghargai tindakan tegas kerajaan wilayah Nagano dalam menangani isu tersebut.

Artikel Berkaitan:

Insiden ini bukan yang pertama melibatkan pelancong Israel di Jepun. Awal tahun ini, sebuah hotel di Kyoto mencetuskan kontroversi apabila meminta seorang pelancong Israel menandatangani pengisytiharan bahawa beliau tidak pernah terlibat dalam jenayah perang sebelum dibenarkan mendaftar masuk.

Isu ini timbul dalam konteks ketegangan global berhubung konflik Gaza, yang sejak Oktober 2023 telah mengorbankan puluhan ribu rakyat Palestin, majoritinya wanita dan kanak-kanak, sekali gus meningkatkan sentimen pro-Palestin di pelbagai negara termasuk Jepun. -Agensi

Ringkasan AI

  • Hotel di Nagano, Jepun, menolak tempahan dari syarikat pelancongan Israel kerana tindakan Israel terhadap Palestin
  • Insiden tersebut mencetuskan bantahan rasmi dari Kedutaan Israel di Jepun
  • Siasatan kerajaan Nagano mendapati penolakan itu melanggar undang-undang yang melarang penginapan menolak pelanggan tanpa alasan munasabah
  • Hotel tersebut diberi teguran lisan oleh pihak berkuasa wilayah Nagano
  • Kontroversi ini bagian dari ketegangan global berhubung konflik Gaza yang meningkatkan sentimen pro-Palestin di pelbagai negara termasuk Jepun

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!