Tidak puas hati, Inspektor Sheila buat tiga laporan polis

Fadil Marsus
Fadil Marsus
A
A
A

KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan tiga laporan telah dibuat Inspektor Sheila melibatkan rasa tidak puas hati terhadap beberapa insiden membabitkan dirinya.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, laporan pertama yang dibuat wanita itu ialah berhubung ketidakpuasan hati terhadap tangkapan dijalankan terhadapnya di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

"Laporan ini dirujuk kepada laporan asal untuk semakan menurut prosedur siasatan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, laporan kedua pula dikemukakan kerana wanita itu mendakwa anggota polis tidak menghormatinya sebagai pegawai kanan.

"Hasil penelitian, kes itu diklasifikasikan sebagai NFA (No Further Action) sebelum dirujuk kepada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS)," katanya.

Menurutnya, laporan ketiga dibuat kerana Inspektor Sheila tidak berpuas hati terhadap seorang peniaga makanan di bawah pokok Ketapang.

"Kes ini diklasifikasikan sebagai NOD (No Offence Disclosed) selepas semakan mendapati tiada elemen kesalahan," katanya.

Terdahulu, tular rakaman video di media sosial memaparkan wanita itu didakwa menimbulkan kekecohan di sebuah gerai makan di ibu negara.

Dalam video berdurasi 43 saat itu memaparkan berlaku pertengkaran antara wanita terbabit dengan seorang lelaki dipercayai pemilik gerai berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Media sebelum ini melaporkan, wanita itu didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Rabu atas pertuduhan menghalang tugas anggota polis di hadapan sebuah restoran, minggu lalu.

Inspektor Sheila atau nama sebenarnya Sheila Sharon Steven Kumar, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Ringkasan AI

  • Polis mengesahkan tiga laporan dibuat oleh Inspektor Sheila kerana rasa tidak puas hati
  • Laporan pertama berkaitan dengan ketidakpuasan hati atas tangkapan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan
  • Laporan kedua adalah berkaitan dengan dakwaan tidak dihormati sebagai pegawai kanan oleh anggota polis
  • Laporan ketiga dibuat kerana tidak puas hati terhadap seorang peniaga makanan
  • Sheila Sharon Steven Kumar, 37, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menghalang tugas anggota polis

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!