Sindiket guna hotel tiga bintang tawar seks warga asing

KUALA LUMPUR – Sebuah hotel tiga bintang di Jalan Ipoh di sini dijadikan pusat pelacuran warga asing dengan menawarkan khidmat melalui aplikasi media sosial, terbongkar susulan serbuan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) pada Jumaat.
Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban berkata, seramai 37 individu termasuk empat lelaki berusia 19 hingga 61 tahun terdiri daripada warga Myanmar, India, Indonesia, Thailand, Vietnam dan Laos ditahan dalam serbuan pada jam 8.45 malam.

"Modus operandi yang digunakan sindiket yang telah beroperasi sejak setahun lalu adalah dengan menjadikan hotel tiga bintang sebagai pusat pelacuran warga asing.
"Pelanggan boleh memilih wanita berdasarkan gambar pada aplikasi media sosial atau secara ‘walk-in’. Kadar bayaran yang dikenakan adalah antara RM250 hingga RM400 bagi setiap jam," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Zakaria berkata, semakan awal mendapati enam wanita warga Thailand, tiga wanita warga Vietnam, dua wanita warga Indonesia dan seorang wanita warga Laos telah menyalahgunakan pas.
"Selain itu, seorang lelaki warga Indonesia dikesan tinggal lebih masa, manakala dua lelaki warga Myanmar, seorang lelaki warga India, 15 wanita Indonesia, tiga wanita warga Vietnam dan tiga wanita warga Thailand didapati tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di Malaysia," katanya.
Beliau berkata, kesemua warga asing yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.
"Seramai tujuh lelaki warga tempatan diberikan notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan," katanya.
Sementara itu, Zakaria berkata satu lagi operasi di sebuah premis hiburan di Nilai, Negeri Sembilan pada Sabtu mendedahkan premis berkenaan hanya dibuka untuk warga Myanmar.
“Bertindak atas maklumat risikan selama dua minggu, pasukan operasi telah menyerbu premis hiburan berkenaan pada jam 12.01 tengah malam.
"Kita menahan seorang wanita warga Myanmar yang disyaki ‘penjaga premis’ dan 20 wanita warga sama yang disyaki bekerja sebagai ‘gadis pelayan’ berusia 25 hingga 40 tahun," katanya.

Beliau berkata, semakan mendapati pusat hiburan itu diuruskan oleh warga Myanmar sejak tiga bulan lalu.
"Premis hiburan hanya beroperasi pada Jumaat hingga Ahad dan hanya menerima pelanggan warga Myanmar.
"Pelanggan diwajibkan memesan minuman keras bagi memasuki pusat hiburan ini dan turut ditawarkan gadis pelayan warga Myanmar dengan bayaran antara RM150 hingga RM200 setiap seorang," katanya.
Menurutnya, semakan awal mendapati lapan wanita warga Myanmar telah tinggal lebih masa, manakala 13 individu lain tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini.
"Pasukan operasi telah menyita buku catatan urus niaga dan tujuh unit telefon bimbit," katanya.

Zakaria berkata, kesemua warga asing yang ditahan itu turut dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.
"Seramai lima lelaki dan seorang wanita warga Myanmar diberi notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
