Najib dipenjara di rumah serta-merta jika Titah Adendum memihak kepadanya – Peguam

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Sekiranya keputusan Titah Adendum di Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin memihak kepada Datuk Seri Najib Tun Razak, maka bekas Perdana Menteri itu akan menjalani baki hukuman penjara di rumah serta-merta.
Ketika sidang akhbar, peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, pasukan pembelaan percaya, Najib, 72, akan dibebaskan tanpa sebarang kelewatan.
Bagaimanapun beliau memahami beberapa prosedur perlu dibuat sebelum bekas Ahli Parlimen Pekan itu dibenarkan keluar dari Penjara Kajang.
“Isu yang akan timbul ialah di rumah mana anak guamnya akan ditempatkan, siapa yang akan mengawal di lokasi berkenaan.
“Saya faham persiapan perlu dibuat di kediaman yang akan dipilih, namun saya percaya anak guam mesti dibenarkan pulang tanpa berlengah lagi,” katanya.
Ditanya mengenai kemungkinan Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan rayuan sekiranya nasib menyebelahi anak jati Pahang itu, peguam utama kes 1MDB itu berkata, ia tidak akan menjejaskan keputusan mahkamah.
Katanya, ia juga tidak akan mempengaruhi kes Titah Adendum sekiranya keputusan rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) diketahui Jumaat minggu hadapan.
“Jangan campur-adukkan kes 1MDB dengan Titah Adendum membabitkan kes SRC International Sdn Bhd.
“Kes ini melibatkan kebebasannya, yang mana Najib telah dipenjarakan di Penjara Kajang sejak Mahkamah Persekutuan menolak rayuannya pada tahun 2022,” katanya.
Pada 13 Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan memerintahkan kes berkenaan dikembalikan kepada Mahkamah Tinggi untuk pendengaran mengenai meritnya selepas menolak permohonan Peguam Negara untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan berhubung dokumen tambahan terbabit.
Mahkamah Persekutuan turut menolak rayuan Peguam Negara terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan Najib mengemukakan bukti baharu bagi menyokong kewujudan dokumen tambahan.
Bekas Presiden UMNO itu memohon perintah mandamus bagi mengarahkan responden memberi jawapan serta mengesahkan kewujudan dokumen tambahan bertarikh 29 Januari 2024.
Najib menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di JPM serta Kerajaan Malaysia sebagai responden.
Anak jati Pahang itu turut memohon perintah sekiranya dokumen tambahan tersebut wujud, semua responden atau mana-mana seorang daripada mereka melaksanakannya serta-merta.
Ini termasuk memindahkannya dari Penjara Kajang ke kediamannya di ibu Negara bagi menjalani baki hukuman penjara di rumah.
Pada 3 Julai tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Amarjeet Singh menolak permohonan Najib untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman, memutuskan empat afidavit dikemukakan bagi menyokong dakwaan Najib termasuk kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, dianggap sebagai khabar angin dan tidak boleh diterima sebagai bukti di mahkamah.
Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC.
Mahkamah Tinggi sebelum ini menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, dan keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan Persekutuan selepas menolak rayuan Najib.
Beliau kemudian memfailkan petisyen bagi mendapatkan pengampunan diraja pada 2 September 2022, yang membawa kepada keputusan Lembaga Pengampunan untuk mengurangkan hukuman penjara daripada 12 tahun kepada enam tahun manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Ringkasan AI
- Sekiranya keputusan mahkamah memihak kepada Najib Razak, beliau akan menjalani baki hukuman penjara di rumah
- Peguam percaya Najib akan dibebaskan tanpa kelewatan setelah beberapa prosedur
- Mahkamah Tinggi akan mendengar mengenai merit dokumen tambahan selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Peguam Negara
- Najib menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 atas kesalahan menyeleweng dana SRC
- Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman Najib dari 12 tahun penjara kepada enam tahun dan denda dari RM210 juta kepada RM50 juta
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

