AGC gagal dapat perintah 'gag order' semakan kehakiman Najib isu Titah Adendum

KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) gagal dalam permohonannya di Mahkamah Tinggi pada Jumaat, untuk mendapatkan perintah larangan bersuara bagi menghalang orang ramai daripada menerbitkan kenyataan berhubung semakan kehakiman difailkan Datuk Seri Najib Tun Razak membabitkan Titah Adendum.
Hakim, Alice Loke Yee Ching memutuskan demikian selepas mendapati AGC selaku pemohon tidak memenuhi ambang yang diperlukan untuk mendapatkan perintah terbabit.
Beliau berkata, larangan atau ‘gag order’ itu tidak akan mengundang risiko yang nyata terhadap keadilan perbicaraan.
Hakikatnya beliau berkata, banyak pihak telah mengulas isu berkaitan semakan kehakiman Titah Adendum tersebut.
“Jika ada pihak melakukan fitnah berhubung isu yang diperkatakan, terdapat undang-undang yang boleh diambil dan diguna pakai.
“Secara keseluruhannya, saya mendapati tiada keperluan untuk mendapatkan perintah ‘gag order’ jadi permohonan ini ditolak,” katanya.
Mahkamah turut menolak permohonan Peguam Negara untuk mendapatkan perintah perlindungan bagi memelihara dan melindungi kepentingan sahnya berhubung semua dokumen dan material yang dikemukakan sebagai eksibit dalam prosiding semakan kehakiman berkenaan.
Beliau kemudiannya memerintahkan pemohon membayar kos RM20,000 kepada bekas Ahli Parlimen Pekan tersebut.
Titah Adendum itu dikatakan diperkenan Yang di-Pertuan Agong ke-16 bagi membolehkan Najib, 72, menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah, berhubung kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd sebanyak RM42 juta.
Pada 20 Januari lalu, AGC memfailkan secara rasmi permohonan larangan bersuara bagi menghalang mana-mana pihak untuk memperkatakan mengenai Titah Adendum yang menyentuh mengenai penahanan Najib di rumahnya sehingga tamat hukuman penjara.
Jabatan itu memohon perintah itu diberikan sehingga prosiding semakan kehakiman dan sebarang rayuan berhubung dengannya diputuskan mahkamah.
Ia bagi menghalang mana-mana pihak termasuk media, individu, organisasi dan pihak ketiga daripada menerbitkan dan menyiarkan kenyataan kepada orang awam atau mana-mana pihak, yang boleh menyebabkan perbincangan, spekulasi, ulasan, kenyataan, kesimpulan atau cadangan.
Perbincangan itu membabitkan kenyataan yang mempersoalkan, mencabar atau menghina keistimewaan Agong di bawah Perlembagaan Persekutuan dan kuasa Seri Paduka Baginda dalam memberi pengampunan.
Begitu juga spekulasi atau kenyataan yang menjejaskan kredibiliti, keabsahan dan integriti proses, keputusan, fungsi dan kuasa yang dijalankan serta dilaksanakan oleh Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Agong.
Ia turut termasuk kenyataan yang bersifat kritikal, berbaur sindiran atau menghina berhubung kedudukan, kuasa dan peranan institusi beraja dalam Perlembagaan Persekutuan.
Selain itu, Peguam Negara memohon satu arahan dikeluarkan oleh mahkamah, bahawa mana-mana pihak yang melanggar perintah ‘gag order’ boleh dianggap menghina mahkamah.
Dalam prosiding sama, hakim menolak permohonan Najib untuk memasukkan bukti tambahan berhubung kewujudan titah sama.
Bukti terbabit ialah surat daripada Majlis Kesultanan Pahang kepada anak bekas Ahli Parlimen Pekan itu, Datuk Mohamad Nizar, bertarikh 4 Januari lalu yang mengesahkan kewujudan Titah berkenaan.
Ketika membacakan keputusan berkenaan, Hakim, Alice berkata, dua afidavit yang difailkan oleh Mohamad Nizar dalam semakan kehakiman itu sebagai mencukupi dan pindaan yang dimohon bukan sekadar mengemaskini fakta, sebaliknya mewujudkan tindakan undang-undang baharu.
Dalam permohonan bekas pemimpin UMNO terbabit, beliau berkata, akan berlaku ketidakadilan terhadap AGC selaku responden sekiranya pindaan dibenarkan.
“Ini kerana responden terpaksa menjawab perkara yang bukan menjadi isu di mahkamah.
“Sekiranya pindaan ini dibenarkan, ia bermaksud pemohon memperkenalkan satu punca tindakan undang-undang baharu yang substantif,” katanya.
Dalam permohonan terbabit, Najib menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM serta Kerajaan Malaysia sebagai responden dalam permohonan kebenaran semakan kehakimannya.
Najib memohon perintah mandamus untuk memaksa responden memberi jawapan dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum bertarikh 29 Januari tahun lalu.
Bekas Presiden UMNO itu juga memohon perintah, jika titah itu wujud, maka semua responden atau seorang daripada mereka perlu melaksanakannya dan dengan serta-merta memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah.
Ringkasan AI
- Jabatan Peguam Negara gagal mendapat perintah larangan bersuara berkaitan Titah Adendum Najib Razak
- Hakim Alice Loke Yee Ching berpendapat gag order tidak mengancam keadilan perbicaraan
- Banyak pihak sudah mengulas isu semakan kehakiman Titah Adendum
- Terdapat undang-undang yang boleh digunakan sekiranya berlaku fitnah tentang isu ini
- Mahkamah arahkan Jabatan Peguam Negara membayar kos RM20,000 kepada Najib Razak
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

