'Perjuangan tolak rasuah tanggungjawab bersama'

SHAH ALAM - Sektor swasta, Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO) disaran tampil sebagai rakan kolaboratif Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memperkukuhkan usaha pencegahan rasuah di negara ini.
Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awang Ismail berkata, usaha membanteras rasuah tidak boleh dipikul SPRM semata-mata tetapi memerlukan sokongan semua pihak.
Menurutnya, syarikat swasta dan GLC di negara ini boleh membantu usaha pencegahan rasuah dengan menganjurkan program antirasuah menerusi insentif potongan cukai bersama komuniti sebagai satu langkah untuk memperluas ekosistem integriti negara.
"Perjuangan menolak rasuah adalah tanggungjawab bersama seluruh rakyat tanpa mengira umur, peranan atau latar belakang," katanya ketika merasmikan Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) 2025 anjuran bersama SPRM Negeri Sembilan, Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) dan Rasuah Busters di AEON Mall Seremban 2 pada Sabtu.
Sambutan HARA 2025 itu dihadiri hampir 200 peserta terdiri daripada NGO, mahasiswa, pelajar sekolah dan warga setempat.
Program tersebut dianjurkan bagi menggalakkan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat dalam menyokong agenda nasional memerangi rasuah.
Antara pengisian utama adalah 'Pocket Talk' Antirasuah yang disampaikan oleh Ketua Unit Pendidikan Masyarakat SPRM Negeri Sembilan, Mohd Adib Othman.
Awgkok Ahmad Taufik turut mengetengahkan keperluan rakyat memahami risiko rasuah daripada pelbagai sudut serta kesalahan utama rasuah disusuli dengan hukuman mengikut Akta SPRM 2009.
Beliau turut menggalakkan rakyat agar berani tampil melapor sebarang salah laku.
"Rasuah bukan sekadar kesalahan undang-undang, tetapi satu pengkhianatan moral yang kesannya jauh lebih luas, melumpuhkan pembangunan, melemahkan keyakinan rakyat terhadap institusi dan merosakkan masa depan negara.
"Jadikan integriti gaya hidup, bukan kempen bermusim, bermula daripada keputusan kecil yang dibuat setiap hari sama ada sebagai pemimpin, pekerja atau ketua keluarga.
“Melapor jenayah rasuah di depan mata bukan pengkhianatan, tetapi tanda mempertahankan kebenaran. Maklumat dan pemberi maklumat dilindungi di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat," katanya.
Beliau turut mengimbas kejatuhan Kesultanan Melaka sebagai pengajaran besar dalam sejarah, bagaimana rasuah, perpecahan dalaman dan ketirisan integriti mampu melemahkan sebuah kuasa besar sehingga hilang kedaulatan, membuka laluan kepada dominasi asing selama berabad-abad.
Dalam pada itu, Presiden IKRAM, Badlishah Sham Baharin berkata, pihaknya bersedia memberi sokongan kepada SPRM sebagai usaha bersama membentuk masyarakat berintegriti tinggi.
"Integriti bermula dengan satu keputusan kecil untuk tidak berbohong, tidak mengambil hak orang, tidak memberi dan tidak menerima rasuah.
"Rasuah tidak akan menang kalau rakyat berani berkata tidak. Rasuah tidak akan hidup kalau masyarakat memilih integriti sebagai gaya hidup. Rasuah akan mati apabila budaya amanah menjadi norma baru Malaysia," ujarnya.
Beliau menyeru agar usaha memerangi rasuah diperkukuh secara menyeluruh dengan penglibatan setiap lapisan masyarakat, bermula daripada pembuat dasar hingga ke akar umbi.
Kepada pihak kerajaan, beliau menegaskan keperluan untuk terus memperkasakan Pelan Antirasuah Nasional sebagai teras tadbir urus negara, termasuk memastikan setiap pelantikan dibuat berasaskan merit, keupayaan dan integriti, bukannya hubungan atau kepentingan peribadi.
"Untuk sektor swasta, bangunkan budaya perniagaan yang telus, beretika dan bertanggungjawab. Keuntungan yang diperoleh tanpa integriti bukan sahaja rapuh, malah tidak membawa keberkatan serta merugikan masyarakat dalam jangka panjang.
"Dalam aspek pendidikan, sekolah, guru dan ibu bapa berperanan penting dalam menanam benih kejujuran dan nilai integriti sejak usia awal. Anak-anak yang dibentuk hari ini merupakan menteri, hakim, doktor dan pemimpin negara pada masa hadapan, justeru pembinaan karakter tidak boleh dipandang ringan," katanya.
Beliau juga menyeru NGO dan komuniti agar terus konsisten melaksanakan advokasi, program pendidikan serta inisiatif berasaskan seni dan media yang mampu membentuk pemikiran rakyat, sekali gus menyemai kesedaran bahawa integriti adalah tanggungjawab bersama demi masa depan negara yang lebih bersih dan berwibawa.
Sementara itu, pengunjung, Suhainur Zalina Zainal menyifatkan program tersebut sangat bermanfaat kerana pemberi pendedahan keburukan rasuah dalam hidup.
Seorang lagi pengunjung, Arafat Muhammad turut berkata, pengisian program yang dilaksanakan pihak penganjur sangat sinonim dengan situasi sekarang yang menyerang di negara ini.
"Rasuah di mana-mana hampir setiap hari ada sahaja tangkapan dibuat seolah-olah tiada nokhtah. Bagus pameran seperti ini buat anak-anak kecil kita faham apa itu rasuah," katanya.
Turut diadakan deklamasi puisi Rasuah Yang Membarah oleh Deklamator Kebangsaan, Umar Mokhtar Abdullah dan persembahan bicara berirama oleh pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Felcra Bukit Kepong, Johor juga Juara Pertandingan Bicara Berirama Peringkat Kebangsaan 2025, yang berjaya memukau hadirin dengan mesej antirasuah yang penuh bersemangat.
Program turut dimeriahkan dengan pameran integriti membabitkan IKRAM, Rasuah Busters, IkramTeens, Institut Integriti Malaysia (IIM) dan beberapa agensi rakan strategik lain yang mempamerkan bahan interaktif, modul kesedaran serta kempen pendidikan antirasuah untuk masyarakat umum.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

