KPS Berhad, Rasuah Busters santuni sekolah, terap budaya tolak rasuah

KPS Berhad ACT-I Jelajah Anti Rasuah 2.0 bersama pelajar Tingkatan 3 SMK Seksyen 18. Foto Sinar Harian MOHD HALIM ABD WAHID
KPS Berhad ACT-I Jelajah Anti Rasuah 2.0 bersama pelajar Tingkatan 3 SMK Seksyen 18. Foto Sinar Harian MOHD HALIM ABD WAHID
A
A
A

SHAH ALAM – Penerapan nilai integriti dan amalan menolak rasuah mesti bermula dari peringkat akar umbi, khususnya di sekolah.

Ketua Projek KPS Berhad ACT-I Jelajah Anti Rasuah 2.0 Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPS Berhad), Shareen Mohd Anayath berkata, pihaknya percaya penerapan nilai murni dan elemen positif dalam diri mampu membentuk kredibiliti pelajar sejak di bangku sekolah hingga memasuki alam pekerjaan atau bergelar pemimpin pada masa hadapan.

Menurutnya, penglibatan pelajar dalam program sedemikian amat penting memandangkan mereka generasi pelapis yang bakal menentukan hala tuju negara.

Shareen (tengah) menerima cenderamata daripada Pengetua SMK Seksyen 18, Hafizah Abdul Samad (kanan) ketika program KPS Berhad ACT-I Jelajah Anti Rasuah 2.0 pada Khamis. Turut kelihatan, Wan Normi. Foto Sinar Harian MOHD HALIM ABD WAHID
Shareen (tengah) menerima cenderamata daripada Pengetua SMK Seksyen 18, Hafizah Abdul Samad (kanan) ketika program KPS Berhad ACT-I Jelajah Anti Rasuah 2.0 pada Khamis. Turut kelihatan, Wan Normi. Foto Sinar Harian MOHD HALIM ABD WAHID

“SMK Seksyen 18 juga merupakan sekolah agama pertama yang kami santuni. Diharapkan nilai-nilai murni yang diterapkan dapat membentuk sahsiah diri mereka.

“Setelah menjelajah tiga sekolah termasuk SMK Seksyen 18 dalam siri kali ini, kami lihat anak-anak pelajar memang suci, jujur dan belum jelas tentang rasuah.

“Ada yang menganggap sekecil-kecil pemberian itu perkara biasa, contohnya hadiah. Mungkin kerana terbiasa diberi ganjaran, maka mereka berfikir pemberian secara halus itu tidak mengapa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian di Dewan Al-Madani SMK Seksyen 18 di sini pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Program tersebut dimulakan dengan ucapan pembukaan oleh Pengetua SMK Seksyen 18, Hafizah Abdul Samad, diikuti penyampaian sumbangan al-Quran daripada Grup Buku Karangkraf, sesi bergambar bersama plakad KPS Berhad dan #RasuahBusters, ceramah integriti serta aktiviti ‘doodle’.

Program Jelajah Anti Rasuah 2.0 KPS Berhad terapkan nilai integriti di sekolah, didik generasi muda tolak rasuah sejak bangku sekolah. Foto Sinar Harian MOHD HALIM ABD WAHID
Program Jelajah Anti Rasuah 2.0 KPS Berhad terapkan nilai integriti di sekolah, didik generasi muda tolak rasuah sejak bangku sekolah. Foto Sinar Harian MOHD HALIM ABD WAHID

Shareen memaklumkan, siri pertama tahun lalu hanya dilaksanakan di Selangor, namun pada tahun ini ia diperluaskan ke Johor dan Pulau Pinang memandangkan KPS Berhad memiliki anak syarikat yang beroperasi di negeri-negeri tersebut.

Beliau menambah, siri jelajah di Johor dan Pulau Pinang telah selesai pada Jun dan Julai lalu sebelum program dibawa semula ke Selangor bermula Ogos.

“Di Selangor, sebanyak lima sekolah menengah dipilih bagi siri kedua ini iaitu SMK Sarjana Utama, Sungai Buloh; SMK Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Seksyen 2 Shah Alam; SMK Seksyen 18, Shah Alam; SMK TTDI Jaya dan berakhir di SMK Subang Utama, Subang Jaya pada 4 September depan,” ujarnya.

Sementara itu, Pengurus Perhubungan Strategik #RasuahBusters, Wan Normi Hasan berpendapat, pelajar wajib memahami bahawa rasuah bukan sekadar kesalahan undang-undang, tetapi ia merosakkan masyarakat dan masa depan.

Jelas beliau, usaha membanteras rasuah bukan hanya terletak di bahu pihak berkuasa semata-mata, bahkan masyarakat juga, termasuk generasi muda yang perlu dididik dengan kesedaran dan kefahaman mengenai nilai integriti.

“Jika integriti dapat dipupuk di sekolah, mereka akan lebih berani menolak budaya rasuah apabila melangkah ke universiti, dunia pekerjaan dan ketika dilantik menjadi pemimpin kelak,” kata Wan Normi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!