Strategi automasi R-Yang

Komitmen R-Yang dalam aspek ESG terbukti antaranya melalui Anugerah Amalan ESG Terbaik dalam kategori Enterprise E50 pada Anugerah Enterprise E50 Angkasa pada tahun lalu
Komitmen R-Yang dalam aspek ESG terbukti antaranya melalui Anugerah Amalan ESG Terbaik dalam kategori Enterprise E50 pada Anugerah Enterprise E50 Angkasa pada tahun lalu
A
A
A

SEJAK mula beroperasi pada tahun 1995, R-Yang Enterprise Sdn Bhd (R-Yang) terus mengorak langkah menjadi antara syarikat penyedia perkhidmatan pembersihan dan penyelenggaraan bereputasi tinggi merentasi pelbagai fasiliti di seluruh negara.

Kini dengan lebih tiga dekad pengalaman, R-Yang bukan sahaja berjaya mengekalkan prestasi dan keberkesanan operasi malah bijak membaca perubahan landskap industri yang semakin dipacu teknologi.

R-Yang melihat integrasi robotik serta automasi sebagai keperluan strategik untuk kekal berdaya saing namun pada masa sama tetap mengekalkan sentuhan manusia, elemen yang dianggap tunjang kepada pengalaman perkhidmatan berkualiti.

Dalam temubual khas bersama Sinar Harian, Ketua Pegawai Eksekutif R- Yang, Yang Mohammad Rosyeidi berkata, peralihan ke dunia robotik bukanlah percubaan kecil atau sekadar mengikut trend sebaliknya komitmen jangka panjang yang dirancang secara terperinci untuk perkembangan syarikat.

“Secara keseluruhan, syarikat membelanjakan sekitar RM4.2 juta untuk komitmen teknologi meliputi pemerolehan robot dan mesin generasi baharu, pembangunan dan penyesuaian sistem, latihan frontliner dan penyelia serta penyediaan tapak dan infrastruktur sokongan di premis pelanggan.

“Penerapan teknologi merupakan komponen modal yang paling besar dan industri pembersihan tidak terkecuali.

"Walaupun teknologi robotik dan smart machines telah wujud dalam segmen kami namun infrastruktur serta ekosistem sokongan masih berada pada fasa pembangunan,” katanya.

Yang Mohammad Rosyeidi bersama Ecobot Scrubber 50
Yang Mohammad Rosyeidi bersama Ecobot Scrubber 50

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, pada fasa permulaan, R-Yang melabur kira-kira RM1.2 juta untuk memperoleh, melatih dan mengoperasikan robot serta mesin dalam persekitaran operasi sebenar dan dalam dua tahun berikutnya meneruskan komitmen tersebut dengan tambahan kira-kira RM3 juta.

Ujar Yang Mohammad Rosyeidi, keputusan mengintegrasikan robotik dipacu beberapa faktor kritikal dengan penekanan terhadap keselamatan, pengurangan ketegangan kerja manusia dan kualiti.

“Frontliner kami berdepan pelbagai tekanan kerja antaranya kerja fizikal berat dan berulang setiap hari, syif kerja panjang, kawasan pembersihan luas dan terdedah kepada bahan kimia dan risiko lantai licin.

“Apabila stress meningkat, risiko terhadap bahaya juga meningkat, apabila robot mula mengambil alih tugas berat dan monoton, frontliner kami berasa kurang terbeban dan membolehkan mereka fokus tugasan yang memerlukan lebih perhatian, ketelitian dan interaksi sesama manusia,” katanya.

Menurut beliau, R-Yang yang mempunyai kira-kira 300 petugas kebersihan bukan sekadar mahu menyediakan servis cemerlang tetapi memastikan setiap personel tampil dengan tahap profesionalisme dan mutu kerja terbaik.

“Dengan robotik, tenaga dan masa pekerja boleh dialihkan daripada kerja seret mop berjam-jam kepada kerja perincian, kawalan kualiti, komunikasi dengan pelanggan dan pengendalian mesin moden.

“Apabila stres fizikal dan mental pekerja berkurangan, kami yakin mereka boleh tampil sebagai frontliner profesional dan bukan sekadar tukang cuci.

"Lebih dari itu, robot dan mesin automasi mengurangkan pekerjaan berulang, pembaziran bahan dan tempoh masa malah laluan dan parameter mesin boleh diselaraskan mengikut piawaian supaya kualiti kerja lebih konsisten.

“Integrasi robotik bagi kami adalah strategi untuk mengurangkan stres dan bahaya, mengurangkan kebergantungan kepada kerja manual berat dan mengoptimumkan standard kualiti sambil mengekalkan perkhidmatan yang relevan dalam era automasi yang semakin berkembang,” katanya.

R- Yang mahu mencapai titik keseimbangan optimum antara robot dan manusia sekali gus memastikan perkhidmatan kekal relevan, berkualiti dan berorientasikan manusia
R- Yang mahu mencapai titik keseimbangan optimum antara robot dan manusia sekali gus memastikan perkhidmatan kekal relevan, berkualiti dan berorientasikan manusia

Akses spesifikasi mesin

Terkini, R-Yang disokong rangkaian luas pembekal tempatan dan luar negara dengan tumpuan utama melalui kerjasama dengan Cleanbots Sdn Bhd.

“Melalui rangkaian ini, kami mempunyai akses kepada pelbagai spesifikasi mesin yang boleh disesuaikan dengan keperluan jenis lantai dan bentuk kawasan dan keperluan ketahanan mesin untuk operasi berat dan jangka masa panjang,” jelasnya.

Antara kategori utama mesin dan teknologi yang digunakan R- Yang termasuk Iv-Mop (Smart / Intelligent Mop System) direka untuk menggantikan kerja mop manual dalam kawasan tertentu dengan sistem yang lebih teratur dan konsisten.

Sesuai untuk ruang yang memerlukan pembersihan kerap tetapi terkawal seperti koridor, lobi dan ruang umum, ia memberi hasil lebih sekata berbanding mop manual dengan penggunaan air dan bahan kimia yang lebih optimum.

Berikutnya, R Series – Ride-On Machine yang membolehkan operator menunggang dan mengendali mesin untuk membersihkan kawasan yang luas.

Direka untuk pelbagai terrain dalaman seperti parking berbumbung, gudang, terminal, pusat beli-belah dan kilang, ia menekankan aspek ketahanan sesuai untuk operasi harian berjam-jam dengan penyelenggaraan terancang.

Sementara itu, dengan J Series – Walk-Behind Machine operator berjalan di belakang mesin untuk mengemudi pembersihan.

Sesuai untuk kawasan yang tidak terlalu luas atau mempunyai banyak halangan seperti laluan sempit, kawasan produksi tertentu dan akses belakang. Ia memberi kawalan yang baik untuk pembersihan lebih tepat di kawasan sukar dicapai oleh ride-on.

Melalui kombinasi Iv-Mop, R Series dan J Series ini serta disokong rangkaian pembekal yang kukuh termasuk Cleanbots Sdn Bhd, R-Yang mampu memilih konfigurasi mesin yang bersesuaian mengikut jenis bangunan, corak penggunaan ruang dan tahap intensiti operasi.

“Fokus kami bukan sekadar memiliki mesin canggih, tetapi juga memastikan setiap mesin yang akan digunakan benar-benar padan dengan terrain, tahan lasak untuk kegunaan jangka panjang dan menyokong objektif automasi, IoT dan agenda Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) yang kami bawa sebagai identiti R-Yang,” katanya.

Sehubungan itu, Yang Mohammad Rosyeidi menekankan, teknologi robotik dan automasi di R-Yang bukan hanya menjadikan kerja lebih cepat dan mengurangkan tekanan kepada manusia malah merupakan pemangkin utama agenda ESG syarikat.

“Ia bukan sekadar membantu operasi harian, tetapi menjadi asas kepada Sustainability Effort Campaign 2025–2027 yang kami lancarkan dan disokong dua komponen utama iaitu ‘Our Pledge’ dan ‘Our Campaign Overview’.

“Melalui Sustainability Effort Campaign 2025–2027, kami bukan sekadar menggunakan robot tetapi komited menjadikan setiap pelaburan teknologi memberi manfaat sebenar kepada alam sekitar, pekerja, pelanggan dan komuniti yang kami berkhidmat.

“Sementara itu, di bawah komponen ‘Our Pledge’ menerapkan komitmen ESG, inovasi, kecemerlangan sumber dan etika manakala komponen ‘Our Campaign Overview’ merupakan inisiatif konkrit seperti teknologi cekap air,tenaga, kitar semula dan pengurusan sisa lestari,” katanya.

R Yang turut mengembangkan operasinya melalui pemerolehan sebuah unit kilang berharga RM3.5 juta di NCT Smart Industrial Park, Sepang yang terletak strategik dalam koridor perindustrian membangun berhampiran lebuh raya utama dan hab logistik penting termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Diiktiraf sebagai taman perindustrian terurus pertama yang diperakui, pembangunan ini menawarkan persekitaran terancang, selamat dan diurus dengan cekap disokong infrastruktur moden serta ciri-ciri hijau.

Pelaburan ini selari dengan komitmen R Yang terhadap pematuhan ESG memandangkan taman ini menekankan reka bentuk mampan, pengurusan sumber yang bertanggungjawab serta amalan tadbir urus yang kukuh.

Dalam pada itu, walaupun automasi membawa banyak kelebihan, R–Yang mengakui, masih terdapat limitasi tertentu berbanding cara pembersihan manual menggunakan kudrat manusia.

“Terdapat situasi di mana robot tidak berfungsi sepenuhnya, contoh apabila sensor memerlukan kalibrasi semula, laluan baharu mempunyai halangan tidak dijangka atau berlaku isu rangkaian dan bateri.

“Apabila robot berhenti beroperasi, protokol kami menetapkan kawasan kritikal akan diambil alih segera oleh pasukan manual bagi memastikan standard kebersihan tidak terjejas.

“Juruteknik R-Yang turut dilatih untuk melakukan troubleshooting dari peringkat asas hingga sederhana dan bagi isu lebih kompleks, vendor menyediakan SLA sokongan, alat ganti dan kunjungan teknikal mengikut keperluan,” katanya.

Selain itu, frontliner dibimbing untuk melakukan reset, melaporkan ralat dan bekerjasama dengan robot sebagai rakan sekerja digital bukannya melihat teknologi sebagai ancaman.

“Kami menganggap robot sebagai ahli pasukan yang mempunyai manual, pelan sandaran dan perancangan kontingensi bukan sebagai mesin sempurna yang tidak akan rosak.

“Pendekatan ini memastikan kesiapsiagaan teknikal dan operasi kami berada pada tahap terbaik,” ujarnya.

Pada masa sama, penggunaan robotik mempunyai limitasi daripada segi keperluan persekitaran sesuai di mana kawasan yang terlalu sempit, penuh halangan atau permukaan tidak rata lebih sesuai untuk kerja manual berbanding automasi.

“Berikutnya ia memerlukan kos permulaan dan latihan, tidak semua tapak memberikan pulangan pelaburan yang optimum terutamanya kontrak berskala kecil atau jangka pendek.

"Pekerja dan penyelia juga memerlukan masa menyesuaikan diri dengan teknologi,” katanya.

Tambahnya, gangguan elektrik atau isu rangkaian boleh menjejaskan operasi robot tertentu selain terhad dari sudut interaksi manusia di mana robot tidak mampu menilai bau, emosi pengguna atau berkomunikasi secara langsung dengan penghuni bangunan.

“Oleh itu, kami tidak melihat masa depan sebagai 100 peratus automasi, manusia tetap menjadi pusat pengalaman perkhidmatan manakala robot sebagai penguat dan pemudah cara,” katanya.

Menariknya, R-Yang turut mengguna pakai pendekatan hybrid dalam pembangunan penyelesaian teknologi seperti perkakasan merangkumi robot, mesin dan komponen fizikal.

“Kami bekerjasama dengan pengeluar antarabangsa dan tempatan yang memiliki kepakaran dalam robotik serta mesin pembersihan komersial.

“Melalui sebahagian kerjasama ini, R-Yang turut dilantik sebagai pembawa produk eksklusif serantau untuk pasaran tertentu seperti Malaysia, Indonesia dan Brunei," ujarnya.

Syarikat turut melaksanakan penyesuaian terbesar dalam segmen perisian, integrasi dan aliran kerja operasi antaranya bagaimana data mesin dimanfaatkan dalam operasi harian, bagaimana laporan dibangunkan untuk pelanggan, bagaimana IoT dan papan pemuka digital dipadukan dengan prosedur operasi standard (SOP) dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) pembersihan.

“Matlamat kami bukan untuk membina robot dari awal tetapi menggabungkan teknologi terbaik di pasaran dengan metodologi operasi R-Yang bagi menghasilkan perkhidmatan yang stabil, selamat, efisien dan sejajar dengan prinsip ESG,” katanya.

‘Our Campaign Overview’ merupakan inisiatif konkrit R-Yang melibatkan teknologi cekap air,tenaga, kitar semula dan pengurusan sisa lestari
‘Our Campaign Overview’ merupakan inisiatif konkrit R-Yang melibatkan teknologi cekap air,tenaga, kitar semula dan pengurusan sisa lestari

Nisbah manusia-mesin

Yang Mohammad Rosyeidi berkata, bergerak ke hadapan R- Yang tidak menetapkan sasaran berapa peratus tenaga manusia perlu diganti sebaliknya menilai nisbah tugasan secara strategik.

“Untuk jangka sederhana, sekitar 10 hingga 20 peratus tugasan berulang utama (lantai luas, kawasan trafik tinggi) dijalankan sepenuhnya oleh robot atau mesin automasi sementara 80 hingga 90 peratus tugasan lain masih memerlukan sentuhan manusia tetapi disokong teknologi untuk meningkatkan efisiensi dan konsistensi.

“Bagi jangka panjang, apabila infrastruktur dan kos teknologi semakin matang lebih banyak tugasan fizikal berat boleh diautomasi.

"Peranan manusia tidak hilang, tetapi berubah ke arah pengurusan kualiti, penyeliaan robot, interaksi dan komunikasi dengan pelanggan serta tugas khusus yang memerlukan sentuhan manusia,” katanya.

Matlamat R- Yang jelas, untuk mencapai titik keseimbangan optimum antara robot dan manusia sekali gus memastikan perkhidmatan kekal relevan, berkualiti, dan berorientasikan manusia.

R-Yang percaya automasi tidak akan menjadikan industri ini bebas manusia walaupun teknologi mengubah cara kerja, pembersihan kekal berkait rapat dengan kesihatan, keselamatan dan pengalaman manusia dalam sesebuah ruang.

“Robot mampu membersih, tetapi menilai keselesaan, memahami konteks sosial, menenangkan pengguna, dan mengurus situasi luar biasa masih memerlukan sentuhan manusia,” katanya.

Tegasnya, di R-Yang lebih banyak tugasan fizikal berat diambil alih oleh mesin sementara manusia dinaik taraf ke peranan yang lebih profesional dan bernilai tinggi.

“Matlamat kami apabila automasi berkembang, industri pembersihan tidak kehilangan ‘wajah manusianya’ dan frontliner dihargai sebagai operator teknologi, penjaga kualiti dan duta pengalaman pengguna,” katanya.

 

 

Ringkasan AI

  • R-Yang Enterprise Sdn Bhd adalah syarikat penyedia perkhidmatan pembersihan dan penyelenggaraan yang telah beroperasi sejak 1995
  • R-Yang melihat integrasi robotik dan automasi sebagai strategi utama untuk kekal berdaya saing sambil mengekalkan sentuhan manusia
  • Syarikat telah membelanjakan RM4.2 juta untuk teknologi termasuk pemerolehan robot, latihan pekerja, dan penyediaan infrastruktur sokongan
  • Teknologi robotik di R-Yang membantu mengurangkan tekanan pada pekerja dan meningkatkan efisiensi operasi
  • Matlamat R-Yang adalah mencapai keseimbangan optimum antara kegunaan robot dan pekerja manusia, menekankan pentingnya peranan manusia dalam industri pembersihan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!