Tiga fasiliti kesihatan baharu di Perak beroperasi hujung tahun ini

Sivanesan (tengah) mendengar penjelasan daripada wakil Jabatan Kerja Raya mengenai perkembangan pembinaan bangunan Klinik Kesihatan Manjoi dalam lawatan kerja ke klinik tersebut di Ipoh pada Selasa.
Sivanesan (tengah) mendengar penjelasan daripada wakil Jabatan Kerja Raya mengenai perkembangan pembinaan bangunan Klinik Kesihatan Manjoi dalam lawatan kerja ke klinik tersebut di Ipoh pada Selasa.
A
A
A

IPOH - Tiga fasiliti kesihatan baharu iaitu Klinik Kesihatan Manjoi, Klinik Kesihatan Pangkor dan Hospital Parit Buntar dijangka mula beroperasi selewat-lewatnya hujung tahun ini.

Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan berkata, kesemua projek berkenaan kini sudah berada di fasa akhir pembinaan dan akan diserahkan kepada Jabatan Kesihatan Perak dalam masa terdekat termasuk Klinik Kesihatan Manjoi yang mengalami kelewatan untuk disiapkan.

Menurutnya, lawatan ke Klinik Kesihatan Manjoi pada Selasa menunjukkan kemajuan kerja sudah mencapai lebih 83 peratus manakala Hospital Parit Buntar dijangka diserahkan pada bulan ini dan Klinik Kesihatan Pangkor sudah siap 95 peratus.

"Untuk Klinik Kesihatan Manjoi ini, saya memohon maaf kepada warga tempatan serta kakitangan kesihatan kerana kelewatan menyiapkan bangunan ini. Lebih empat tahun mereka terpaksa berkhidmat dari dewan orang ramai, sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku.

"Namun, saya percaya kali ini kontraktor akan menepati janji untuk menyerahkan bangunan ini menjelang hujung tahun," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan kerja ke Klinik Kesihatan Manjoi di sini pada Selasa.

Hadir sama, Pengarah Kesihatan Perak, Dr Feisul Idzwan Mustapha.

Sivanesan berkata, Klinik Kesihatan Manjoi yang menelan kos RM27.18 juta mula dibina pada 2018 dan sepatutnya siap pada 2020, namun beberapa isu termasuk penamatan kontraktor serta pandemik Covid-19 menyebabkan ia tertangguh.

Selain tiga fasiliti berkenaan, beliau turut memaklumkan Klinik Kesihatan Greentown yang sedang dinaik taraf juga akan siap menjelang hujung tahun ini manakala Hospital Seri Iskandar sudah beroperasi sepenuhnya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, dengan penambahan hospital dan klinik baharu, Perak kini akan beroperasi dengan kapasiti penuh melibatkan 14 hospital di seluruh negeri.

Mengulas isu kesesakan pesakit di klinik kerajaan, Sivanesan menjelaskan ia merupakan fenomena biasa berikutan peningkatan kos rawatan di sektor swasta.

“Ramai yang dahulunya mampu mendapatkan rawatan di sektor swasta kini beralih ke fasiliti kerajaan. Tambahan pula, bayaran pesakit di klinik dan hospital kerajaan masih menggunakan struktur lama tanpa kenaikan walaupun kos operasi meningkat.

"Namun, kerajaan negeri akan terus berusaha memastikan keselesaan pesakit ditingkatkan,” jelasnya.

Sementara itu, Dr Feisul menegaskan pihaknya turut memberi perhatian terhadap aduan berkaitan isu pencemaran habuk hitam di Taiping.

Bagaimanapun katanya, hasil pemantauan mendapati tiada peningkatan kes pesakit yang mengalami gejala pernafasan dikaitkan dengan pencemaran berkenaan.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya segera mendapatkan rawatan sekiranya mengalami simptom seperti demam, batuk atau selesema berpanjangan di klinik kerajaan mahupun swasta.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!