WCEHB raih RM629.1 juta bagi TK2025, didorong kemajuan pembinaan dan kutipan tol tinggi

WCE dijangka terus merangsang aktiviti ekonomi, menarik pelaburan baharu serta memperkukuh landskap sosioekonomi di sepanjang koridor pantai barat. - Gambar hiasan. Foto kecil: Lyndon Alfred Felix
WCE dijangka terus merangsang aktiviti ekonomi, menarik pelaburan baharu serta memperkukuh landskap sosioekonomi di sepanjang koridor pantai barat. - Gambar hiasan. Foto kecil: Lyndon Alfred Felix
A
A
A

MESYUARAT Agung Tahunan (AGM) WCE Holdings Berhad (WCEHB) ke-24 yang dihadiri pemegang saham, ahli Lembaga Pengarah serta pihak pengurusan telah meluluskan semua resolusi yang dibentangkan termasuk penerimaan penyata kewangan beraudit bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2025 (TK2025).

Maklumat lanjut mengenai keputusan undian, pembentangan dan jawapan kepada soalan yang dibangkitkan semasa AGM boleh didapati di laman sesawang korporat WCEHB di www.wcehb.com.my.

Ketua Pegawai Eksekutif WCEHB, Lyndon Alfred Felix berkata, WCEHB mencatatkan hasil sebanyak RM629.1 juta bagi TK2025, meningkat 2.3 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Hasil tersebut didorong oleh kemajuan pembinaan dan hasil kutipan tol yang lebih tinggi.

“Seterusnya, pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) kekal positif pada RM98.2 juta sekali gus menunjukkan prestasi operasi yang semakin kukuh,” katanya pada AGM yang diadakan pada Selasa.

Tambahnya, kerugian sebelum cukai berkurangan berbanding tahun-tahun sebelumnya, mencerminkan kesihatan kewangan syarikat yang semakin baik.

“Momentum ini berterusan ke tahun kewangan baharu dengan hasil suku pertama TK2026 melonjak 421 peratus suku-ke-suku kepada RM393.8 juta, dipacu oleh peningkatan aktiviti pembinaan dan kutipan tol daripada seksyen yang baru dibuka.

“Hasil tol bagi suku pertama TK2026 meningkat 61 peratus suku-ke-suku kepada RM42.0 juta, manakala EBITDA meningkat 84 peratus kepada RM33.4 juta,” jelasnya.

Beliau turut berkongsi perkembangan terkini Projek Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE).

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, lebuh raya ini dirancang secara strategik bukan sahaja untuk mempercepatkan perjalanan dan meningkatkan kelancaran trafik, malah berperanan sebagai pemacu pembangunan serantau di Selangor dan Perak.

“Projek ini menyokong pertumbuhan pelbagai sektor termasuk perumahan, industri, logistik, pelancongan, pendidikan dan kesihatan.

“Dengan peningkatan aksesibiliti dan keterhubungan, WCE dijangka terus merangsang aktiviti ekonomi, menarik pelaburan baharu serta memperkukuh landskap sosioekonomi di sepanjang koridor pantai barat,” katanya.

Menurutnya, lapan daripada 11 seksyen telah beroperasi termasuk keseluruhan jajaran di Perak.

Seksyen yang beroperasi di Selangor ialah Seksyen 1 (Banting–SKVE), Seksyen 2 (SKVE–SAE), Seksyen 5 (NNKSB–Bandar Bukit Raja Utara), Seksyen 6 (Bandar Bukit Raja Utara–Assam Jawa).

Di Perak pula, Seksyen 8 (Hutan Melintang–Teluk Intan), Seksyen 9 (Lekir–Changkat Chermin), Seksyen 10 (Changkat Chermin–Beruas), Seksyen 11 (Beruas–Taiping Selatan).

Sementara itu, kerja-kerja pembinaan masih diteruskan di Seksyen 3 (SKVE–NKVE/FHR2), Seksyen 7 (Assam Jawa–Tanjong Karang) serta kawasan Rehat dan Rawat (R&R).

Katanya, salah satu cabaran utama bagi penyempurnaan Seksyen 3 ialah isu pengambilan tanah di Lot 15762.

Bagaimanapun, WCE kini sedang bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan, kerajaan dan pemilik tanah untuk menyelesaikan perkara tersebut.

Dalam pada itu, purata trafik harian (ADT) meningkat 36 peratus tahun-ke-tahun dalam suku pertama TK2026, mencerminkan permintaan tinggi terhadap jajaran baharu ini.

Sehubungan itu, pertumbuhan hasil tol dijangka terus kukuh sejajar dengan peningkatan trafik di Selangor dan Perak.

Pada masa sama, beliau turut membentangkan inisiatif hijau syarikat. Selaras dengan komitmen terhadap kelestarian, WCEHB memperkukuh pelaksanaan inisiatif hijau di sepanjang lebuh raya.

Antaranya ialah integrasi tenaga boleh diperbaharui, pemasangan pengecas kenderaan elektrik (EV), sistem tadahan air hujan, dan pencahayaan LED bagi meningkatkan kecekapan tenaga.

Menurutnya, WCEHB turut melaksanakan aktiviti penanaman pokok untuk memperindah persekitaran serta membina culvert khas bagi haiwan bagi menyokong pemuliharaan biodiversiti di sepanjang koridor lebuh raya.

“Usaha ini mencerminkan pendekatan proaktif syarikat dalam menyepadukan tanggungjawab alam sekitar ke dalam operasi,” katanya.

Selain itu, beliau menegaskan WCEHB komited untuk menyempurnakan sepenuhnya Projek WCE menjelang TK2027.

“Permulaan yang kukuh bagi TK2026 membuktikan keberkesanan model perniagaan kami serta ketahanan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat sebagai aset infrastruktur yang penting.

“Dengan peningkatan hasil tol, penyempurnaan seksyen yang masih berbaki serta sokongan berterusan daripada kerajaan, WCEHB yakin berada di landasan kukuh ke arah keuntungan jangka panjang dan penciptaan nilai mampan untuk pemegang saham,” katanya.

WCEHB turut melaksanakan kontrak pembinaan bernilai kira-kira RM800 juta, termasuk Projek Seri Langat, Seksyen 7B dan pembinaan R&R sekali gus memperkukuh asas pendapatan syarikat yang lebih pelbagai.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!