Emas, perak kelihatan meningkat walaupun ketidaktentuan harga jangka pendek - MGA

HARGA emas dan perak dijangka kekal meningkat dalam tempoh sederhana hingga jangka panjang walaupun berdepan ketidaktentuan jangka pendek disebabkan oleh perkembangan makroekonomi global serta geopolitik, kata Presiden Persatuan Emas Malaysia (MGA), Datuk Seri Louis Ng.
Beliau berkata, turun naik harga kebelakangan ini sebahagian besarnya dipacu oleh reaksi berlebihan pasaran terhadap berita negatif termasuk jangkaan dasar monetari Amerika Syarikat (AS) yang lebih ketat serta ketegangan geopolitik.
Bagaimanapun, beliau berkata, asas yang menyokong logam berharga itu kekal utuh.
"Saya percaya pasaran bertindak balas terlalu drastik. Jika kita melihat asasnya, permintaan emas dan perak masih sangat tinggi dan ia punca utama harga emas masih kekal meningkat," katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu menghadiri sidang media di Persidangan Emas Malaysia di sini hari ini.
Louis berkata, satu daripada pendorong utama kenaikan harga emas dalam beberapa minggu kebelakangan ini disebabkan situasi hutang global.
Mengulas mengenai unjuran harga, Louis berhati-hati dalam membuat unjuran khusus walaupun bank pelaburan mengunjurkan harga emas antara AS$5,800 setiap auns hingga AS$6,000 setiap auns (AS$1 = RM3.95).
Bagi perak, beliau berkata, kenaikan harga disokong oleh ketidakseimbangan bekalan dan permintaan yang berterusan dengan logam itu mencatatkan defisit selama empat tahun berturut-turut akibat permintaan industri yang kukuh.
"Bekalan perlombongan perak tidak mencukupi untuk menampung permintaan dari industri seperti kenderaan elektrik, panel solar, unit pemprosesan grafik dan unit pemprosesan pusat," katanya.
Tambahnya, ketegangan geopolitik mereda termasuk perkembangan terkini melibatkan AS dan Iran serta gencatan senjata sementara di antara Ukraine dengan Rusia, menyumbang kepada penurunan harga baru-baru ini.
Mengenai permintaan domestik, Louis berkata, harga emas yang tinggi dengan beberapa harga runcit mencecah sekitar RM800 setiap gram dijangka mempengaruhi aktiviti pembelian, terutamanya dari segi jumlah.
"Dengan harga emas yang tinggi sekarang, permintaan terhadap emas akan semakin perlahan. Orang ramai mungkin membeli gram yang lebih rendah tetapi dengan peruntukan harga yang sama," katanya.
Beliau berkata, terdapat perubahan dalam corak pembelian runcit di Malaysia dengan produk pelaburan seperti jongkong emas dan syiling menyumbang sekitar 60 peratus daripada pembelian berbanding sekitar 40 peratus untuk barang kemas, dipacu oleh minat yang lebih tinggi terhadap pelaburan emas. - Bernama
Ringkasan AI
- Harga emas dan perak dijangka meningkat dalam tempoh sederhana hingga jangka panjang
- Turun naik harga dipicu oleh reaksi pasaran terhadap berita negatif dan ketegangan geopolitik
- Permintaan terhadap emas dan perak masih tinggi menyokong harga meningkat
- Kenaikan harga perak disokong oleh ketidakseimbangan bekalan dan permintaan industri
- Permintaan domestik terhadap emas mungkin perlahan berikutan harga yang tinggi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
