Bekas Sarjan Mejar bebas tuduhan edar dadah

SEREMBAN – Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu melepas dan membebaskan seorang pesara polis berpangkat Sarjan Mejar daripada pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 573.6 gram yang didakwa dilakukan tiga tahun lalu.
Hakim, Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh membuat keputusan tersebut selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan ke atas tertuduh, Aminuddin Amir, 66.
Dalam penghakimannya di akhir kes pembelaan, beliau memaklumkan pihak pendakwaan gagal membuktikan bahawa pondok dan kotak yang mengandungi dadah berkenaan berada di bawah jagaan eksklusif serta kawalan tertuduh.
Ini kerana katanya, lokasi pondok tempat dadah itu ditemui boleh diakses oleh orang lain, malah tiada sebarang kesan cap jari tertuduh dikesan pada dadah yang dirampas.
Selain itu, mahkamah turut mendapati pihak pendakwaan tidak mengemukakan bukti yang menunjukkan sebarang bukti terhadap tertuduh untuk melakukan apa-apa perbuatan terhadap kotak berkenaan.
Mengikut pertuduhan, Aminuddin didakwa mengedar kanabis seberat 573.6 gram di sebuah pondok di belakang rumahnya di Batu Kikir, Jempol pada 14 September 2022.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara 30 hibgga 40 tahun serta tidak kurang 15 sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Rasyidah Murni Adzmi manakala tertuduh diwakili peguam, G Subramaniam Nair dan Devika Suppiah.
Sementara itu, Aminuddin yang ditemui di luar mahkamah meluahkan rasa syukur dan lega atas pembebasannya selepas lebih tiga tahun berada di dalam penjara.
Media pada 30 Julai lalu melaporkan, Mahkamah Tinggi memerintahkan Aminuddin membela diri atas pertuduhan tersebut.
Dia diberi tiga pilihan iaitu memberi keterangan bersumpah dari kandang saksi, memberi keterangan dari kandang tertuduh atau berdiam diri.
Aminuddin memaklumkan kepada mahkamah mahu memberi keterangan secara bersumpah dan Subramaniam Nair memberitahu akan memanggil seramai empat saksi termasuk anak guamnya dalam prosiding membela diri.
Ringkasan AI
- Mahkamah Tinggi Seremban melepas dan membebaskan seorang pesara polis dari pertuduhan mengedar dadah
- Hakim mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan
- Pendakwaan gagal membuktikan pondok dan kotak dadah berada di bawah jagaan eksklusif tertuduh
- Tiada kesan cap jari tertuduh pada dadah yang dirampas dan lokasi pondok boleh diakses orang lain
- Aminuddin didakwa mengedar kanabis seberat 573.6 gram dan boleh dihukum mati atau penjara dan sebatan jika sabit kesalahan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

