Didakwa edar dadah, penganggur berdepan hukuman mati

Mohd Suhaimi (tengah) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Melaka pada Jumaat.
Mohd Suhaimi (tengah) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Melaka pada Jumaat.
A
A
A

MELAKA - Seorang penganggur berdepan hukuman mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat atas tuduhan mengedar dadah berbahaya jenis heroin base seberat lebih 18 kilogram (kg).

Tertuduh, Mohd Suhaimi Abas, 46, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Sharda Sienha Mohd Suleiman.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kesalahan tersebut berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai seorang yang tidak dikecualikan di bawah Bahagian IV Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234 Semakan 1980) atau sebarang peraturan, didapati mengedar dadah jenis heroin base seberat 18,250 gram yang disenaraikan di Bahagian III Jadual Pertama akta tersebut.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kampung Bukit Lintang di sini kira-kira jam 6.10 petang pada 13 Ogos lalu.

Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup, dan jika tidak dihukum gantung sampai mati, hendaklah disebat tidak kurang daripada 12 sebatan, mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Abdullah Mohd Rodzlad, yang tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian tidak membenarkan tertuduh diikat jamin selain menetapkan 7 Oktober depan untuk sebutan semula kes.

 

Artikel Berkaitan:

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!