UnIPSAS lumpuh terjejas banjir

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) di sini lumpuh selepas ditenggelami air sedalam kira-kira 0.5 hingga satu meter pada Rabu.
Banjir yang berlaku kira-kira jam 12.30 tengah malam itu menjejaskan 152 pelajar terdiri pelajar baharu semester satu termasuk 30 pelajar teknologi maklumat (IT) semester dua ke atas yang berkeperluan hadir ke makmal.
Naib Canselor UnIPSAS, Prof Datuk Dr Mohd Zawavi Zainal Abidin berkata, turut terjejas tujuh kakitangan bersama keluarga yang tinggal dalam kawasan kampus universiti itu.
Menurutnya, semua pelajar terlibat ditempatkan buat sementara waktu di tingkat dua bangunan asrama.
"Berkemungkinan mereka kita akan dipindahkan ke Masjid Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah (Masjid UnIPSAS) bagi memudahkan urusan bantuan dan untuk membantu ibu bapa menjenguk atau menjemput membawa mereka pulang.
"Setakat ini ibubapa 47 pelajar terlibat telah menghubungi pihak universiti untuk menjemput anak mereka pulang ke rumah masing-masing," katanya ketika ditemui di UnIPSAS di sini pada Rabu.

Dr Mohd Zawavi berkata, 270 kakitangan universiti kini diarah berkerja dari rumah sehingga banjir pulih.
"Kebetulan ketika ini, pelajar lain tiada di kampus kerana mengikuti mengikuti sesi Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) hingga Februari depan.
"Kebajikan pelajar yang terjejas banjir ini terjaga di mana pihak universiti menyediakan bantuan sewajarnya termasuk makan minum mereka," katanya.
Sementara itu katanya, kejadian banjir ini kali keempat dialami universiti itu selepas yqng terakhir pada 2022 di mana keadaan ketika itu lebih buruk.
Tinjauan Sinar Harian di lokasi mendapati aktiviti di universiti itu terhenti namun beberapa kakitangan masih berada di sekitar kawasan untuk urusan berkaitan banjir.
Banjir yang melanda UnIPSAS susulan limpahan air Sungai Belat ekoran hujan lebat berterusan sejak Isnin.

Ketika ini Jalan Pekan - Kuantan kedua-dua arah berhampiran universiti ditutup kepada semua kenderaan apabila laluan sepanjang 1.2 kilometer dinaiki air sedalam 0.77 meter.
Banjir yang kembali melanda negeri ini menyaksikan 2,027 mangsa daripada 626 keluarga terpaksa dipindahkan ke 15 pusat pemindahan sementara (PPS) di dua daerah terjejas sehingga jam 8 pagi pada Rabu.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Pahang berkata, Kuantan mencatatkan jumlah tertinggi dengan 13 PPS dibuka, melibatkan 607 keluarga dan 1,953 penduduk terjejas.
Sementara itu di MARAN, dua PPS dibuka menempatkan 19 keluarga dengan 74 mangsa.
Ringkasan AI
- UnIPSAS lumpuh akibat banjir
- Banjir melibatkan 152 pelajar dan 7 kakitangan bersama keluarga
- Pelajar terlibat ditempatkan di tingkat dua bangunan asrama
- 270 kakitangan universiti diarah bekerja dari rumah
- Banjir susulan limpahan air Sungai Belat akibat hujan lebat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

