Murid terjejas banjir diberi kelonggaran tidak pakai seragam sekolah, PdPR - KPM

Murid terjejas banjir diberi kelonggaran untuk tidak memakai seragam sekolah manakala bagi yang tidak dapat hadir ke sekolah, mereka boleh mengikuti sesi PdPR. - Gambar hiasan
Murid terjejas banjir diberi kelonggaran untuk tidak memakai seragam sekolah manakala bagi yang tidak dapat hadir ke sekolah, mereka boleh mengikuti sesi PdPR. - Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Murid yang terjejas akibat banjir diberi kelonggaran untuk tidak memakai seragam sekolah manakala bagi yang terkandas dan tidak dapat hadir ke sekolah, mereka boleh mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR), menurut Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hari ini.

Kementerian itu dalam kenyataan turut memaklumkan, persiapan bagi pembukaan sekolah selepas cuti penggal 2, sesi 2025/2026, termasuk kerja pembersihan serta bantuan penyelenggaraan di sekolah yang terjejas banjir, sedang dilakukan.

"KPM menyediakan bantuan terbaik kepada murid terjejas, termasuk dari segi penyediaan bahan pembelajaran serta sokongan psikososial dan emosi,” menurut kenyataan itu.

KPM meminta ibu bapa, penjaga murid, guru, pegawai dan anggota kumpulan pelaksana yang terjejas untuk memaklumkan situasi masing-masing kepada pihak sekolah atau jabatan.

"Pihak sekolah dan pejabat pendidikan daerah diminta untuk mendapatkan maklumat terkini situasi banjir daripada sekretariat jawatankuasa pengurusan bencana negeri, jabatan pendidikan negeri dan agensi berkaitan.

"KPM memberi keutamaan kepada aspek keselamatan dan kesejahteraan seluruh warganya,” menurut kenyataan itu.

KPM memaklumkan, setakat 8 pagi tadi, sebanyak 69 sekolah di Sabah dan Sarawak terkesan banjir merangkumi 33 sekolah rendah dan lima sekolah menengah di Sabah manakala di Sarawak melibatkan 28 sekolah rendah dan tiga sekolah menengah.

"Sebanyak tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) di premis institusi pendidikan KPM negeri Sabah sedang beroperasi,” menurut kementerian itu. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Murid yang terjejas akibat banjir diberi kelonggaran untuk tidak memakai seragam sekolah dan boleh mengikuti PdPR jika tidak dapat hadir ke sekolah
  • Kementerian Pendidikan Malaysia sedang melakukan persiapan untuk pembukaan sekolah selepas cuti penggal
  • KPM menyediakan bantuan, termasuk bahan pembelajaran dan sokongan psikososial untuk murid terjejas banjir
  • Ibu bapa dan guru diminta memaklumkan situasi terjejas banjir kepada sekolah atau jabatan pendidikan
  • Sebanyak 69 sekolah di Sabah dan Sarawak terjejas oleh banjir dan tujuh pusat pemindahan sementara di Sabah sedang beroperasi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!