'Air melimpah dalam masa singkat' - Kuantan paling terjejas banjir

KUANTAN – Daerah Kuantan mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi di Pahang apabila seramai 7,050 daripada 2,342 keluarga dipindahkan ke 42 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 10 pagi, Khamis.
Hujan berterusan sejak dua hari lalu menyebabkan paras air meningkat di beberapa kawasan rendah, termasuk kawasan perumahan di Taman Guru, Kampung Sri Damai dan Kampung Jaya Gading.
Tinjauan mendapati jalan kampung di kawasan berkenaan ditenggelami air mengakibatkan beberapa kenderaan penduduk terperangkap.

Premis perniagaan turut terjejas apabila air melimpahi kawasan kaki lima memaksa penduduk meredah banjir bagi menyelamatkan barangan keperluan.
Pesara, Halim Junus, 60, berkata, kejadian banjir kali ini berlaku di luar jangkaannya apabila air melimpah ke kawasan kediaman dalam masa singkat.
"Hujan turun tanpa henti menyebabkan keadaan menjadi tidak menentu dan menyukarkan penduduk mengambil langkah awal.
“Saya terpaksa keluar meredah air bagi memastikan ahli keluarga berada dalam keadaan selamat,” katanya.
Dalam pada itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pahang melaporkan secara keseluruhan, sebanyak lima daerah terjejas dengan 74 Pusat PPS dibuka di seluruh negeri melibatkan 2,830 keluarga.
Selain Kuantan, daerah Maran merekodkan seramai 776 daripada 223 keluarga, manakala daerah Pekan mencatatkan 543 mangsa diikuti Rompin dengan 337 mangsa dan Jerantut seramai 16 mangsa.

Sementara itu, menerusi laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), sebanyak 11 sungai di Pahang membabitkan lima daerah iaitu Kuantan, Pekan, Rompin, Lipis dan Jerantut setakat jam 8 pagi ini.
Kuantan merekodkan lima sungai iaitu Empangan Chereh; Sungai Belat di Seri Damai; Sungai Soi di Jalan Pekan-Kuantan, Sungai Lepar di Jambatan Gelugor dan Sungai Kuantan di Pasir Kemudi.
Di Pekan pula membabitkan Sungai Mertiga di Jambatan Chini dan Sungai Pahang di Paloh Hinai, Sungai Tembeling di Kampung Merting, Jerantut dan Sungai Puteri, Rompin manakala Sungai Kechau di Kampung Dusun dan Sungai Tanum di Jambatan Chegar Perah di Lipis.
Sebanyak 10 sungai pula melepasi paras amaran dan 12 sungai melepasi paras waspada di daerah ini, Raub, Rompin, Lipis, Bentong, Maran dan Temerloh
Ringkasan AI
- Kuantan mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi di Pahang dengan 7,050 mangsa dari 2,342 keluarga dipindahkan
- Hujan berterusan menyebabkan paras air meningkat di beberapa kawasan rendah di Kuantan
- Beberapa kenderaan penduduk terperangkap akibat jalan kampung di kawasan berkenaan ditenggelami air
- Premis perniagaan turut terjejas, memaksa penduduk meredah banjir bagi menyelamatkan barangan keperluan
- Secara keseluruhan, lima daerah di Pahang terjejas dengan 74 pusat pemindahan sementara dibuka
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

