Kes Syed Saddiq: Pendekatan luar jangka dan isyarat Mahkamah Persekutuan

Syed Saddiq sering dilihat sebagai simbol politik muda dan reformasi.
Syed Saddiq sering dilihat sebagai simbol politik muda dan reformasi.
A
A
A

TINDAKAN panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan di sini tidak memberikan keputusan atau sekurang-kurangnya menetapkan tarikh baharu selepas mendengar rayuan pendakwaan terhadap pembebasan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mencetuskan perhatian luar biasa masyarakat umum.

Lebih mengejutkan, mahkamah bukan sekadar menangguhkan keputusan, malah memberi tempoh seminggu kepada pihak pendakwaan dan pembelaan untuk ‘bertenang’.

Peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Syed Saddiq (SS) juga menyatakan, arahan Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais yang bersidang bersama Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah sebagai sesuatu di luar jangkaan.

Pendekatan sedemikian jarang dizahirkan, khususnya dalam kes rayuan terakhir berprofil tinggi yang sarat dengan implikasi politik serta perundangan.

Mengikut sudut amalan kehakiman, penangguhan keputusan tanpa tarikh bukanlah suatu yang asing.

Kes Indira Gandhi, Lina Joy dan SRC International melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, mahkamah tertinggi negara pernah mengambil masa panjang selepas hujahan selesai sebelum menyampaikan keputusan.

Dalam kebanyakan kes berkenaan, alasan penangguhan lazimnya bersifat teknikal, termasuk keperluan meneliti rekod perbicaraan yang tebal, menyelaraskan pandangan panel hakim atau menyediakan alasan penghakiman yang menyeluruh kerana keputusan bakal menjadi rujukan jangka panjang.

Bagaimanapun dalam kes Syed Saddiq, 33, prosiding itu agak menonjol mungkin kerana gabungan beberapa faktor serentak.

Kes ini berada di peringkat rayuan terakhir, hujahan kedua-dua pihak telah selesai sepenuhnya dan mahkamah memilih untuk tidak memberikan sebarang petunjuk masa keputusan akan disampaikan.

Artikel Berkaitan:

Ia juga boleh mencerminkan sifat hati-hati oleh mahkamah bagi memastikan sebarang keputusan tidak dilihat tergesa-gesa, khususnya apabila kes berkenaan berada di bawah sorotan awam yang tinggi.

Apa jua keputusan yang bakal dibuat, berpotensi menjadi rujukan penting dalam kes-kes melibatkan dana parti atau organisasi politik pada masa akan datang.

Ini kerana Syed Saddiq sering dilihat sebagai simbol politik muda dan reformasi, menjadikan kes ini sentiasa berada di bawah perhatian umum.

Penangguhan keputusan dan tempoh cooling-off boleh ditafsir sebagai usaha mahkamah meredakan suhu perbahasan serta melindungi kewibawaan institusi kehakiman.

Hakikatnya, cara mahkamah mengurus kes berprofil tinggi turut membawa mesej tersendiri tentang prinsip kehati-hatian, ketelusan dan kebebasan kehakiman.

Walaupun penangguhan keputusan bukan sesuatu yang luar biasa, pendekatan Mahkamah Persekutuan dalam kes Syed Saddiq memberi gambaran bahawa mahkamah sedar keputusan ini akan diperdebat, dirujuk dan dinilai untuk tempoh yang panjang.

Dalam suasana sedemikian, masa yang diambil sebelum membuat keputusan boleh dianggap sebagai cerminan tanggungjawab institusi kehakiman terhadap kepentingan awam serta keperluan memastikan keadilan dilihat bukan sahaja dilaksanakan, tetapi dilaksanakan dengan cermat.

*Noor Azlida Alimin ialah wartawan Sinar Harian

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!