Gabungan pendekatan ‘quick win’, penyelesaian jangka panjang atasi banjir Sungai Golok - PETRA

PUTRAJAYA - Gabungan langkah sementara (quick win) dan penyelesaian jangka panjang dilaksanakan melalui Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok di Kelantan bagi memastikan perlindungan berterusan kepada penduduk dan alam sekitar.
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengariskan empat langkah langkah mitigasi sementara di kawasan-kawasan kritikal bagi mengurangkan impak banjir sementara menunggu penyiapan keseluruhan projek jangka panjang.
Menurutnya, langkah itu termasuk kerja-kerja pengorekan Sungai Lanchang Lemal bagi meningkatkan kapasiti sungai dan mengurangkan limpahan di kawasan rendah, khususnya di Tumpat dan Pasir Mas
"Tindakan lain meliputi penyediaan Prosedur Operasi Standard (SOP) Danau Tok Uban bagi menyelaras kawalan aras air dan pengurusan takungan semasa kejadian hujan lebat.
"Selain itu, pemasangan struktur mudah alih flood barrier wall di kawasan-kawasan berisiko tinggi serta kerja-kerja pengorekan muara Sungai Golok yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Sebelum ini, Laporan Khas Sinar Harian mendedahkan projek mega itu diharap mampu menamatkan banjir tahunan di sempadan Malaysia–Thailand di Kelantan, namun ia mengundang derita apabila penduduk di semua lokasi terlibat apabila projek dalam pembinaan itu menyebabkan kawasan rumah mereka dilanda banjir buruk setiap tahun sejak ia dibina.
Dalam perkembangan sama, kementerian terbabit menyatakan, pelaksanaan jangka panjang PLSB Sungai Golok pula dilaksanakan secara berfasa melibatkan tiga fasa utama.
"Analisis dan simulasi hidrologi oleh JPS mendapati bahawa pelaksanaan lengkap ketiga-tiga fasa ini berupaya mengurangkan risiko banjir sehingga tahap 50 Annual Recurrence Interval (ARI), selaras dengan piawaian perlindungan banjir yang selamat," ujarnya.
Kenyataan itu turut memaklumkan, sehingga Disember 2025, status pelaksanaan PLSB Sungai Golok adalah 71.3 peratus dan dijangka siap pada Julai 2026 untuk fasa 1.
Menurutnya, Fasa 2 kini dalam peringkat perolehan melalui tender terbuka pra-kelayakan, dengan kerja fizikal dijangka bermula pada Februari 2026 dan fasa 3 menunjukkan kemajuan fizikal sebanyak 9.2 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada April 2029.
"Setelah ketiga-tiga fasa PLSB Sungai Golok disiapkan sepenuhnya, projek ini dijangka dapat menyediakan perlindungan banjir yang lebih menyeluruh kepada kawasan-kawasan utama termasuk Rantau Panjang, Pasir Mas dan Tumpat, sekali gus mengurangkan secara signifikan bilangan penduduk serta harta benda yang terdedah kepada risiko banjir," menurutnya.
PETRA menjelaskan, penilaian teknikal semasa menunjukkan pelaksanaan penuh PLSB Sungai Golok bagi Fasa 1, 2 dan 3 perlu disiapkan terlebih dahulu sebelum sebarang cadangan alternatif seperti penggalian terusan atau kerja naik taraf tambahan lain dipertimbangkan.
Kementerian tersebut menyifatkan, pendekatan itu penting bagi memastikan setiap keputusan yang dibuat adalah terselaras, berasaskan bukti teknikal serta tidak menimbulkan implikasi teknikal atau kos yang tidak perlu.
"PLSB Sungai Golok bukan sekadar melibatkan pembinaan benteng semata-mata, sebaliknya merangkumi pengurusan menyeluruh terhadap limpahan sungai utama.
"Ini termasuk kerja-kerja pelebaran sungai, pembinaan struktur kawalan aliran serta pelaksanaan langkah-langkah mitigasi banjir bersepadu yang saling melengkapi," jelasnya.
Dalam perkembangan sama, Kerajaan Persekutuan kekal komited untuk melaksanakan projek PLSB Sungai Golok mengikut perancangan serta piawaian keselamatan yang ditetapkan selaras dengan aspirasi Malaysia Madani.
PETRA berkata, perlaksanaan itu turut melibatkan kerjasama berterusan dengan Kerajaan Negeri bagi memastikan perlindungan jangka panjang kepada penduduk di Rantau Panjang, Pasir Mas dan Tumpat, Kelantan.
PETRA dan JPS sentiasa mengalu-alukan pandangan serta cadangan daripada pelbagai pihak untuk dipertimbangkan secara konstruktif demi memperkukuh keberkesanan penyelesaian isu banjir monsun yang berlaku saban tahun di kawasan
Ringkasan AI
- Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Golok diusahakan untuk perlindungan berterusan terhadap penduduk dan alam sekitar di Kelantan
- Langkah mitigasi sementara termasuk kerja-kerja pengorekan dan penyediaan Prosedur Operasi Standard untuk mengurangkan impak banjir
- Pelaksanaan projek jangka panjang dilakukan secara berfasa dan bertujuan mengurangkan risiko banjir sehingga tahap 50 ARI
- Status pelaksanaan projek adalah 71.3 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada April 2029
- PLSB Sungai Golok melibatkan pengurusan menyeluruh limpahan sungai, termasuk pelebaran sungai dan pelaksanaan langkah mitigasi banjir bersepadu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

