Projek tebatan banjir Sungai Kenau siap 27 November 2026

KUANTAN – Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Kenau dijangka siap sepenuhnya pada 27 November 2026, sekali gus mengatasi masalah banjir yang kerap melanda kawasan Sungai Lembing.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, projek yang dilaksanakan secara kontrak reka dan bina itu bermula pada 28 November 2023 dan fasa reka bentuk telah siap pada 4 Julai lalu.
"Seterusnya, pembinaan projek dimulakan pada 5 Julai lalu dan status kemajuan terkini projek adalah 16.84 peratus berbanding jadual 16.33 peratus, iaitu empat hari lebih awal.
"Ini menunjukkan kemajuan pembinaan projek ini sangat memberangsangkan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Mohamad Ayub Mat Ashri (Pas–Sungai Lembing) yang meminta penjelasan status projek tebatan banjir di Sungai Kenau, Sungai Lembing serta peratus pelaksanaan semasanya.
Wan Rosdy menambah, beberapa tindakan awal telah dilaksanakan sebagai langkah sementara sementara menunggu projek tebatan banjir itu siap sepenuhnya.
Jelasnya, antara tindakan awal tersebut termasuklah kerja-kerja pengorekan, pendalaman serta pengempangan air di Sungai Kenau.
“Kerja-kerja awal ini penting supaya air dapat mengalir dengan lancar dan tidak berlaku banjir sementara menunggu projek siap sepenuhnya,” katanya.
Ringkasan AI
- Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Kenau dijadwalkan siap sepenuhnya pada 27 November 2026 untuk mengatasi masalah banjir di Sungai Lembing
- Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, mengumumkan projek itu bermula pada 28 November 2023 dan fasa reka bentuk telah selesai pada 4 Julai
- Pembinaan projek bermula pada 5 Julai dengan kemajuan semasa 16.84 peratus, empat hari lebih awal dari jadual
- Tindakan awal termasuk kerja-kerja pengorekan, pendalaman dan pengembangan air di Sungai Kenau telah dilaksanakan
- Tindakan ini bertujuan untuk memastikan aliran air yang lancar dan menghindari banjir sementara menunggu projek selesai
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

