RXZ Members Ride 3.0 ganggu ketenteraman awam - DAP Melaka

MELAKA – DAP Melaka menyuarakan bantahan terhadap sebarang bentuk penganjuran acara yang menggalakkan atau membiarkan perbuatan melanggar undang-undang.
Pengerusinya, Khoo Poay Tiong berkata, program RXZ Members Ride 3.0 yang diadakan di negeri ini telah memberi kesan serius terhadap rutin harian penduduk, ketenteraman awam serta keselamatan jalan raya.
Menurut beliau, berdasarkan maklum balas yang diterima daripada rakyat Melaka, berlaku aktiviti menunggang motosikal pada kelajuan tinggi dan pencemaran bunyi, terutama pada lewat malam sehingga menimbulkan gangguan.
“Selain itu, pergerakan kumpulan besar penunggang motosikal di kawasan bandar turut meninggalkan persepsi negatif kepada pelancong dan sekali gus menjejaskan imej Melaka sebagai sebuah negeri pelancongan.
“Dalam perhimpunan ini, kami menerima pelbagai aduan bahawa sebahagian penunggang motosikal telah melanggar lampu isyarat, berlumba di jalan awam serta menunggang secara berbahaya sehingga mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain, termasuk pemandu kenderaan dan pejalan kaki,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau menggesa Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkairi Mukhtar, memandang serius aduan yang dikemukakan penduduk dan memberi penjelasan kepada orang ramai sama ada tindakan penguatkuasaan serta kawalan trafik yang sewajarnya telah dilaksanakan semasa dan selepas acara tersebut.
Pada masa sama, beliau turut menyeru Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, untuk memberi perhatian serius terhadap perkara ini semasa merancang dan meluluskan sebarang acara besar.
“DAP Melaka pada prinsipnya menyokong usaha kerajaan negeri menganjurkan acara berskala besar bagi merancakkan ekonomi tempatan, yang jika dirancang dengan baik mampu memberi manfaat kepada peniaga kecil, peniaga gerai, hotel serta pengusaha inap desa.
“Namun, kerajaan negeri tidak boleh hanya menumpukan kepada kemeriahan dan jumlah kehadiran, sebaliknya mesti mengambil kira kualiti hidup penduduk, keselamatan lalu lintas, imej bandar serta kesan jangka panjang,” katanya.
Tambah beliau, setiap aktiviti sosial atau hiburan yang melibatkan jumlah peserta yang besar perlu melalui perancangan rapi dan pertimbangan teliti, manakala penganjur bertanggungjawab memastikan kesan yang mungkin timbul berada dalam keadaan terkawal.
“DAP Melaka menegaskan bahawa pembangunan ekonomi dan keselamatan awam bukanlah dua perkara yang bertentangan dan boleh dilaksanakan serentak.
“Hanya dengan pematuhan undang-undang, ketertiban awam serta penghormatan terhadap hak dan kesejahteraan rakyat, barulah setiap inisiatif yang digerakkan oleh kerajaan negeri dapat memperoleh sokongan sebenar daripada masyarakat,” katanya.
Ringkasan AI
- DAP Melaka bantah acara yang galakkan perbuatan melanggar undang-undang
- RXZ Members Ride 3.0 timbulkan gangguan kepada penduduk, ketenteraman awam dan keselamatan jalan raya
- Aktiviti menunggang motosikal pada kelajuan tinggi dan pencemaran bunyi terutama pada lewat malam
- Pergerakan kumpulan besar penunggang motosikal meninggalkan persepsi negatif kepada pelancong
- DAP Melaka gesa tindakan penguatkuasaan dan kawalan trafik dilaksanakan serta kerajaan negeri perlu ambil kira kualiti hidup penduduk dalam merancang acara besar
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

