Polis keluarkan 87 saman sepanjang RXZ Members Ride 3.0

RXZ Members Ride 3.0 di Melaka menarik 70,000 penyertaan dari seluruh negara.
RXZ Members Ride 3.0 di Melaka menarik 70,000 penyertaan dari seluruh negara.
A
A
A

MELAKA - Polis Melaka mengeluarkan sebanyak 87 saman sepanjang penganjuran RXZ Members Ride Edition 3.0 yang berlangsung selama dua hari pada Jumaat dan Sabtu lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, saman berkenaan dikeluarkan hasil operasi pemantauan dan penguatkuasaan oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) di sekitar negeri Melaka.

Menurutnya, daripada jumlah tersebut, 14 saman dikeluarkan atas kesalahan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, selain pelbagai kesalahan lalu lintas lain yang dikesan.

“Kesalahan lain yang direkodkan termasuk tiada lesen memandu (13 kes), tidak tampal pelekat Lesen Percubaan (11), tiada insurans (9), tiada cermin sisi (6), tidak memakai topi keledar (5) serta ubah suai ekzos (4 kes).

“Kesalahan lain yang dikesan termasuk tiada nombor pendaftaran (5), kesalahan nombor plat (3), aksesori tidak dibenarkan (10), lampu brek tidak berfungsi (3), tidak patuh arah (2) dan gagal berhenti (1),” katanya pada Ahad.

Bagaimanapun, Datuk Dzulkhairi memaklumkan, tiada kenderaan disita dan tiada tangkapan dibuat sepanjang tempoh penganjuran acara berkenaan.

Selain itu katanya, polis juga mengesahkan tiada sebarang kemalangan maut atau parah melibatkan peserta RXZ Members Ride 3.0 dilaporkan sepanjang tempoh acara di negeri itu.

Tambah beliau, operasi pemantauan tersebut dilaksanakan bermula 12 hingga 14 Disember 2025, melibatkan tempoh masa dari jam 12 tengah malam hingga 6 petang, dengan fokus penguatkuasaan di sekitar Melaka.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Polis Melaka mengeluarkan 87 saman selama RXZ Members Ride Edition 3.0
  • Saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas termasuk Lesen Kenderaan Motor tamat tempoh
  • Tiada kenderaan disita dan tiada tangkapan dibuat sepanjang acara
  • Tiada kemalangan maut atau parah melibatkan peserta dilaporkan
  • Operasi pemantauan berlangsung dari 12 hingga 14 Disember, fokus di sekeliling Melaka

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!