Terpaling juara kritik RXZ Members tapi isu pemandu mabuk senyap – Dr Akmal

Dr Akmal (kiri) turut serta memeriahkan Program RXZ Members Ride 3.0.
Dr Akmal (kiri) turut serta memeriahkan Program RXZ Members Ride 3.0.
A
A
A

MELAKA - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menyelar sikap DAP Melaka yang lantang mengkritik himpunan RXZ Members Ride 3.0, namun berdiam diri terhadap masalah yang lebih serius melibatkan pemandu mabuk di jalan raya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu berkata, setiap pihak seharusnya bersikap adil dalam menilai sesuatu isu dan menghormati hak orang lain sebagaimana mereka menuntut hak sendiri.

“Macam mana kita mahu orang lain menghormati hak kita, begitulah juga kita perlu menghormati hak orang lain.

“Dan pesanan saya kepada parti politik yang kononnya ‘terpaling juara’ mengkritik RXZ Members ini, dalam isu pemandu mabuk kamu senyap membisu pula, tetapi bab orang lain kamu bukan main lagi mahu mengkritik,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.

Pada Sabtu, DAP Melaka menyuarakan bantahan terhadap sebarang bentuk penganjuran acara yang menggalakkan atau membiarkan perbuatan melanggar undang-undang.

Menerusi satu kenyataan, pengerusinya, Khoo Poay Tiong berkata, program RXZ Members Ride yang diadakan di negeri ini telah memberi kesan serius terhadap rutin harian penduduk, ketenteraman awam dan keselamatan jalan raya.

Ia susulan maklum balas yang diterima daripada rakyat Melaka mengenai aktiviti menunggang motosikal pada kelajuan tinggi serta pencemaran bunyi, terutama pada lewat malam sehingga menimbulkan gangguan.

Dr Akmal berkata, penganjuran himpunan RXZ Members Ride pada Jumaat dan Sabtu lalu menerima reaksi bercampur daripada masyarakat, termasuk pujian serta kecaman.

“Kecaman timbul kerana terdapat segelintir peserta yang tidak mematuhi peraturan jalan raya seperti melanggar lampu isyarat dan menunggang secara melawan arus.

Artikel Berkaitan:

“Perkara ini saya setuju untuk ditegur dan dikecam kerana ia melibatkan keselamatan nyawa penunggang serta pengguna jalan raya lain,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa adalah tidak wajar keseluruhan penganjuran acara tersebut dihukum secara menyeluruh hanya disebabkan tindakan segelintir individu.

“Cuba tanya daripada puluhan ribu yang hadir, berapa orang sebenarnya yang melanggar undang-undang jalan raya? Saya percaya jauh lebih ramai yang menunggang dengan baik dan berhemah.

“Saya sangat bersetuju untuk mengkritik tindakan segelintir yang tidak patuh peraturan jalan raya, tetapi tidak bersetuju apabila keseluruhan peserta yang hadir seolah-olah dihukum dan dianggap melakukan kesalahan besar. Itu tidak betul,” katanya.

Ujar beliau, program tersebut turut membuka peluang perniagaan kepada pengusaha hotel dan peniaga kecil, selain menjadi platform meraikan minat komuniti permotoran.

“Dalam setahun ada 365 hari dan hanya dua hari diperuntukkan untuk rakan-rakan yang meminati dunia permotoran berkumpul dan diraikan.

“Sama seperti musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, Deepavali dan Tahun Baharu Cina, kita boleh menerima dan menghormati situasi tersebut kerana ia sebahagian daripada perayaan selagi tidak mendatangkan bahaya kepada orang lain. Jika membahayakan, tindakan wajar perlu diambil,” katanya.

Ringkasan AI

  • Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh kritik DAP Melaka kerana senyap isu pemandu mabuk tetapi lantang mengkritik himpunan RXZ Members Ride 3.0
  • DAP Melaka bantah penganjuran acara yang langgar undang-undang termasuk RXZ Members Ride yang dikatakan ganggu ketenteraman awam
  • Dr Akmal mengatakan reaksi terhadap himpunan RXZ Members bercampur, ada pujian dan kecaman
  • Beliau tidak bersetuju hukuman menyeluruh kepada semua peserta hanya kerana tindakan segelintir individu
  • Menurut Dr Akmal, program RXZ Members Ride memberi peluang perniagaan dan meraikan minat komuniti permotoran

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!