Pelawat istana perlu lalui pemeriksaan termometer infra-merah

Semua pelawat dan juga kontraktor yang bertugas di kawasan istana diperiksa di pintu masuk utama bagi mengenalpasti tahap kesihatan mereka.
Semua pelawat dan juga kontraktor yang bertugas di kawasan istana diperiksa di pintu masuk utama bagi mengenalpasti tahap kesihatan mereka.
A
A
A

SHAH ALAM - Pejabat Sultan Selangor mewajibkan semua pelawat yang mempunyai urusan di kawasan istana melalui pemeriksaan menggunakan termometer infra-merah.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja kepada Sultan Selangor, Sawaluddin Md Nor berkata langkah tersebut diambil bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

"Tiga unit termometer berkenaan telah ditempatkan di pintu masuk utama Istana Alam Shah, Istana Bukit Kayangan dan Istana Mestika.

"Semua pelawat dan kontraktor yang bertugas di kawasan istana diperiksa di pintu masuk utama bagi mengenalpasti tahap kesihatan mereka.

"Ini penting untuk mengetahui jika terdapat simptom yang menjurus kepada wabak Covid-19 selain dibekalkan hand sanitizer," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, semua kakitangan istana juga telah menjalani pemeriksaan pada 9 Mac lalu dan keputusan ujian adalah negatif.

“Pihak Pejabat Sultan Selangor juga membekalkan topeng muka kepada kakitangan yang bertugas pada satu-satu masa sehingga tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini tamat nanti," katanya.

Katanya, kawasan perumahan kakitangan istana di Kampung Seri Alam, Klang turut dikawal rapi oleh anggota polis.

Artikel Berkaitan:

“Pihak kami turut menjunjung titah Tuanku Sultan yang mahu semua kakitangan khususnya yang tinggal di kawasan Kampung Seri Alam supaya duduk di rumah dan tidak merayau ke luar kawasan bagi mengelak risiko dijangkiti wabak berbahaya itu," katanya.