Cukuplah berpolitik, beta dah penat dengar - Sultan Selangor

Sultan Sharafuddin berkenan bergambar bersama Menteri Besar Selangor, Datuk Amirudin Shari dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor pada Istiadat Angkat Sumpah Jawatan Dan Ikrar Aku Janji Serta Pengurniaan Watikah Pelantikan Yang Amat Berhormat Dato' Menteri Besar Selangor dan Yang Berhormat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor yang diadakan di Istana Alam Shah, Klang. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
Sultan Sharafuddin berkenan bergambar bersama Menteri Besar Selangor, Datuk Amirudin Shari dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor pada Istiadat Angkat Sumpah Jawatan Dan Ikrar Aku Janji Serta Pengurniaan Watikah Pelantikan Yang Amat Berhormat Dato' Menteri Besar Selangor dan Yang Berhormat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor yang diadakan di Istana Alam Shah, Klang. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
A
A
A

KLANG - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menitahkan agar semua wakil rakyat di negeri ini berhenti bermain politik sebaliknya memberi tumpuan dalam menyelesaikan masalah rakyat, termasuk usaha memulihkan semula ekonomi di Selangor.

"Cukup-cukuplah kita berpolitik, rakyat dan penat, beta pun dah penat dengar, bangunlah ahli-ahli yang berhormat semua, fikirkanlah masa depan negeri, negara dan masa depan anak cucu kita.

"Jadikan negara Selangor hebat semula seperti mana pada zaman kegemilangan negeri Selangor tidak berapa lama dahulu,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan mencemar duli hadir pada Istiadat Pengurniaan Watikah Pelantikan dan Angkat Sumpah 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor bagi memegang jawatan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor di Istana Alam Shah Klang di sini pada Isnin.

Baginda bertitah, kerajaan perlu menitikberatkan aspek kelancaran dalam pengurusan pentadbiran dengan mengurangkan aspek birokrasi yang boleh menyusahkan serta membebankan rakyat yang berurusan dengan kerajaan.

"Rakyat perlu sentiasa didahulukan, diutamakan dan dibela dalam segala aspek pembangunan dan pentadbiran kerajaan.

"Sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan, rakyat telah memilih ahli-ahli yang berhormat bagi mentadbir negara dan negeri-negeri dengan harapan agar pemimpin yang dipilih ini mengutamakan agenda kemakmuran rakyat agar kekayaan negara dapat dinikmati bersama dan rakyat dapat hidup dengan selesa, makmur sehingga ke generasi akan datang.

"Oleh itu keperluan asas rakyat, pemulihan ekonomi rakyat dan kos sara hidup perlu sentiasa dititikberatkan agar mereka tidak terus dibebani dengan kemelut kemelesetan ekonomi yang begitu mencabar sekarang ini," titah baginda.

Artikel Berkaitan:

Sultan Selangor turut bertitah, adalah menjadi keutamaan baginda agar kerajaan negeri turut menyelesaikan masalah banjir yang sering melanda negeri Selangor dengan mengemukakan rancangan jangka pendek, panjang dan sederhana.

"Apalah gunanya kita berbangga dengan pencapaian kemajuan ekonomi yang pesat serta status negeri kaya serta kejayaan mencatat KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) tertinggi di Malaysia seandainya masalah keperluan asas rakyat pun tidak mampu diuruskan dengan baik," titah baginda.

Titah baginda lagi, sejak kebelakangan ini, Selangor mula ketinggalan dari segi pelaburan dan nilai eksport barangan berbanding Pulau Pinang, Johor malah Sarawak.

"Kejatuhan ini mungkin tanpa kita sedari dan kita dilihat gagal untuk segera mengatasinya, ahli-ahli yang berhormat perlu sedar dengan fakta dan realiti ini, satu tindakan segera perlu diambil bagi mengelakkan ia daripada terus menjejaskan reputasi negeri Selangor sebagai penyumbang utama ekonomi Malaysia.

"Beta menaruh harapan yang tinggi untuk ahli-ahli yang berhormat sekalian bagi memberi perkhidmatan yang cemerlang dengan turun ke padang bagi melihat sendiri keadaan pembangunan yang dirancang dan sedang berjalan," titah baginda.