Tak wajar paksa UEC jadi dasar nasional - GPMS Perak

Faizal
Faizal
A
A
A

IPOH - Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Perak menegaskan mana-mana pihak tidak wajar memaksa kerajaan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) sebagai sijil rasmi negara.

Pengerusinya, Faizal Haramaini berkata, tiada keperluan untuk kerajaan memberi pengiktirafan terhadap UEC kerana bercanggah dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, Akta Bahasa Kebangsaan serta Dasar Kebudayaan Kebangsaan.

Jelas beliau, penolakan terhadap pengiktirafan UEC tidak wajar disalah tafsir sebagai rasis sedangkan pendirian itu berpaksikan asas pembinaan negara yang telah dipersetujui sejak merdeka.

“UEC ialah laluan alternatif yang sah dan dibenarkan tetapi laluan alternatif tidak perlu dipaksa menjadi dasar nasional.

"Kepelbagaian boleh dihormati tanpa menggadaikan Perlembagaan dan keharmonian negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Faizal berkata, selepas kemerdekaan, Malaysia membina sistem pendidikan kebangsaan berteraskan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa pengantar utama, dengan kurikulum seragam sebagai alat penyatuan rakyat serta pembentukan identiti nasional.

Katanya, ketika itu sekolah menengah aliran Cina diberikan pilihan untuk menyertai sistem Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan dengan syarat mematuhi dasar dan bahasa pengantar kebangsaan, namun sebahagian memilih untuk kekal sebagai sekolah persendirian.

Beliau turut merujuk sejarah pelaksanaan UEC yang dibenarkan pada 1975 sebagai peperiksaan persendirian yang diuruskan pihak luar kerajaan, tidak berada di bawah kawalan Kementerian Pendidikan dan bukan peperiksaan awam.

“Keputusan itu dibuat secara sukarela, bukan paksaan kerajaan. Atas dasar tolak ansur dan keharmonian masyarakat, kerajaan membenarkan sekolah-sekolah ini terus beroperasi sebagai institusi swasta, dengan kefahaman jelas bahawa ia berada di luar sistem pendidikan kebangsaan.

Artikel Berkaitan:

“UEC tidak pernah dijanjikan sebagai sijil rasmi negara. Garis pemisah ini jelas sejak awal," katanya.

Jelas Faizal, pengiktirafan negara adalah perkara berbeza daripada pengiktirafan antarabangsa atau penerimaan pasaran pekerjaan kerana ia melibatkan urusan rasmi negara serta tertakluk kepada dasar kebangsaan.

Menurutnya, isu timbul apabila tuntutan pengiktirafan UEC kini mahu disetarakan dengan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

Beliau menegaskan, kerajaan tidak pernah mengharamkan UEC atau menutup sekolah persendirian Cina, malah pelajar UEC bebas melanjutkan pengajian ke luar negara dan bekerja di sektor swasta.

“Pendirian membantah pengiktirafan UEC tidak menafikan kecemerlangan akademik pelajarnya dan tidak menghalang mereka melanjutkan pelajaran atau membina kerjaya.

"Namun, pengiktirafan sebagai sijil rasmi negara mesti mematuhi kerangka perlembagaan dan dasar nasional,” katanya.

Sementara itu, Faizal menyifatkan tuntutan terbaharu mengiktiraf UEC mempunyai kepentingan politik tertentu dan dibangkitkan semula bagi meraih sokongan dalam komuniti tertentu.

 

 

Ringkasan AI

  • GPMS Perak menolak desakan mengiktiraf UEC sebagai sijil rasmi kerana bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan
  • Penolakan terhadap UEC bukan berdasarkan rasisme tetapi asas pembinaan negara
  • UEC diiktiraf sebagai laluan alternatif tetapi tidak perlu menjadi dasar nasional
  • Sistem pendidikan kebangsaan Malaysia berteraskan bahasa Melayu dan mempunyai kurikulum seragam untuk pembentukan identiti nasional
  • Pengiktirafan UEC sebagai sijil rasmi negara mesti mematuhi kerangka perlembagaan dan dasar nasional

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!