Pengiktirafan UEC: Beri ruang kepada kerajaan teliti

Muhammad Kamil (tengah) menyatuni wakil petani yang hadir dalam pertemuan khas di Dewan Orang Ramai Kampung Baru Kuala Kuang pada Jumaat.
Muhammad Kamil (tengah) menyatuni wakil petani yang hadir dalam pertemuan khas di Dewan Orang Ramai Kampung Baru Kuala Kuang pada Jumaat.
A
A
A

IPOH - Kerajaan perlu diberi ruang untuk meneliti secara menyeluruh kerangka terbaik sebelum memutuskan sebarang bentuk pengiktirafan terhadap Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), kata Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim.

Beliau yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) berkata, isu pengiktirafan UEC perlu didekati dengan perbincangan menyeluruh, bukan berdasarkan tekanan politik mana-mana pihak apatah lagi perkara tersebut telah dibincangkan sejak era pentadbiran terdahulu.

"Saya lihat ada pihak ambil kesempatan buat kenyataan politik yang tidak bertanggungjawab. Kita boleh semak rekod, semua (kerajaan dan parti) pernah bercakap soal UEC, tetapi pelaksanaannya tidak ada.

"Jadi berilah ruang sedikit kepada kerajaan untuk melihat. Saya percaya dalam tempoh yang akan datang ini, akan ada beberapa perkara diumumkan tanpa menggadai atau meminggirkan prinsip-prinsip penting seperti mana termaktub dalam Perlembagaan," katanya.

Muhammad Kamil
Muhammad Kamil

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas pertemuan khas bersama wakil petani Cina Parlimen Tambun di Dewan Orang Ramai Kampung Baru Kuala Kuang di sini pada Jumaat.

Muhammad Kamil berkata, tuntutan pengiktirafan UEC tidak boleh diterima sebulatnya kerana perlu mengambil kira beberapa asas penting termasuk kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

"Keutamaan kita meletakkan bahasa Melayu, bahasa penting sebagai syarat kelayakan untuk sesuatu sijil itu diiktiraf. Ini termasuklah beberapa mata pelajaran lain seperti Sejarah dan sebagainya.

Artikel Berkaitan:

"Apa sahaja keputusan dasar tidak boleh bercanggah dengan prinsip Perlembagaan Persekutuan," tegasnya.

Dalam perkembangan lain, Muhammad Kamil berkata, kerajaan memahami kesukaran yang ditanggung hampir 200 petani di kawasan Tambun yang berdepan tindakan pengusiran.

Katanya, satu siri pertemuan dengan pemegang taruh termasuk anak syarikat kerajaan negeri akan diadakan minggu depan sebagai komitmen membantu menyelesaikan isu tersebut.

"Kita faham keresahan dan beban yang terpaksa ditanggung oleh mereka kerana sebahagiannya telah berada di tanah tersebut untuk satu tempoh yang panjang.

"Jadi dalam pertemuan nanti, kita akan mengemukakan cadangan alternatif lebih sesuai, selain meneliti tuntutan pampasan setimpal kepada petani yang terkesan," katanya.

Ringkasan AI

  • Kerajaan memerlukan masa untuk menilai kerangka terbaik sebelum memberi pengiktirafan kepada UEC
  • Isu pengiktirafan UEC harus dibincangkan secara menyeluruh dan bukan atas dasar tekanan politik
  • Tuntutan pengiktirafan UEC mesti mempertimbangkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan
  • Keputusan dasar tidak boleh bertentangan dengan prinsip Perlembagaan Persekutuan
  • Kerajaan akan mengadakan pertemuan untuk membantu menyelesaikan isu pengusiran hampir 200 petani di kawasan Tambun

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!