KGMMB tegas tolak pengiktirafan UEC

KUANTAN - Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) kekal dengan pendirian menolak sebarang usaha mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sebagai kelayakan dalam sistem pendidikan kebangsaan.
Presidennya, Mohd Sobri Yusof berkata, pendirian tersebut bukan bersifat emosional sebaliknya berpaksikan kepada prinsip Dasar Pendidikan Kebangsaan yang menekankan perpaduan nasional, keseragaman kurikulum serta kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Menurutnya, UEC yang ditawarkan di sekolah menengah persendirian Cina tidak menggunakan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) dan tidak menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama.
“Keadaan ini bercanggah dengan semangat dasar pendidikan negara yang dibangunkan untuk menyatupadukan rakyat melalui sistem persekolahan yang seragam dan inklusif.
“Pengiktirafan UEC berisiko mewujudkan dualisme dalam sistem pendidikan serta mengukuhkan jurang antara kaum selain menjejaskan usaha perpaduan yang telah digerakkan sejak merdeka,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Mohd Sobri berkata, penentangan terhadap pengiktirafan UEC telah disuarakan sejak awal 2000-an melibatkan pandangan akademik, pertubuhan masyarakat dan pelbagai pihak yang menilai implikasi sosial serta perundangan.
Menurutnya, antara kebimbangan utama ialah ketidakselarasan UEC dengan Akta Pendidikan 1996 dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963 selain dikhuatiri tidak selari dengan prinsip Rukun Negara.
Beliau turut menyatakan sokongan penuh terhadap ketegasan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, yang mempertahankan dasar pendidikan negara daripada tekanan politik atau tuntutan yang boleh menjejaskan kestabilan sistem sedia ada.
Dalam pada itu, Mohd Sobri berkata, KGMMB bersedia menjadi rakan strategik Kementerian Pendidikan dalam memastikan dasar-dasar yang digubal dapat dilaksanakan dengan berkesan.
“Malaysia hanya dapat melahirkan generasi berilmu, berakhlak dan bersatu padu melalui sistem pendidikan yang mantap, berteraskan Perlembagaan dan nilai kebangsaan,” katanya.
Ringkasan AI
- KUANTAN - Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) menolak pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC)
- Pendirian KGMMB berpaksikan kepada prinsip Dasar Pendidikan Kebangsaan yang menekankan perpaduan nasional
- UEC tidak menggunakan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) dan tidak menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama
- Pengiktirafan UEC berisiko mewujudkan dualisme dalam sistem pendidikan dan mengukuhkan jurang antara kaum
- KGMMB menyatakan sokongan penuh terhadap ketegasan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dalam mempertahankan dasar pendidikan negara
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

