UEC tidak boleh diputuskan atas tekanan politik - KPT

Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
A
A
A

PUTRAJAYA - Sebarang cadangan berkaitan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) mesti berpaksikan Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, sekali gus tidak boleh diputuskan berdasarkan tekanan politik atau tuntutan sempit mana-mana pihak.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, pendirian Kerajaan Madani kekal tegas bahawa kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan bahasa ilmu merupakan prinsip asas negara yang tidak boleh dikompromi serta terpakai kepada semua aliran pendidikan tanpa pengecualian.

Beliau berkata, selaras dengan penegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semua aliran pendidikan termasuk Cina, Tamil, Arab, Inggeris dan sekolah antarabangsa wajib memastikan penguasaan kukuh terhadap Bahasa Melayu sesuai dengan kehendak Perlembagaan Persekutuan dan aspirasi nasional dalam pembentukan jati diri serta perpaduan negara.

“Di peringkat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), kami akan terus memperkukuh hala tuju pendidikan tinggi negara yang inklusif, progresif dan berdaya saing.

"Penekanan akan diteruskan kepada penguasaan Bahasa Melayu sebagai bahasa teras, bahasa teknologi dan bahasa ilmu,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurut Zambry, usaha memartabatkan bahasa kebangsaan akan digerakkan seiring pemerkasaan Bahasa Inggeris serta bahasa lain termasuk Mandarin, Tamil, Arab dan bahasa-bahasa suku dengan matlamat melahirkan bakat nasional berkeupayaan multilingualisme, seimbang serta berakar pada nilai kenegaraan.

“Kita mahu memastikan graduan negara bukan sahaja fasih berbahasa, tetapi mampu memenuhi tuntutan dan cabaran global tanpa mengabaikan identiti kebangsaan,” tambahnya.

 

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Cadangan pengiktirafan UEC harus selari dengan Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara, dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan
  • Pendirian Kerajaan Madani menegaskan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan tidak boleh dikompromi
  • Semua aliran pendidikan wajib memastikan penguasaan Bahasa Melayu
  • Kementerian Pendidikan Tinggi berusaha memperkukuh pendidikan tinggi yang inklusif, progresif dan berdaya saing dengan penekanan pada Bahasa Melayu
  • Inisiatif memartabatkan Bahasa Melayu digerakkan bersama pemerkasaan Bahasa Inggeris dan bahasa lain untuk melahirkan bakat multilingual yang seimbang

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!