'2025 akhirnya sempurna'

DIAM tak diam, kita sudah sampai ke hujung tahun. Selalunya inilah waktu yang paling sibuk. Ada yang berkejar urus banjir, ada yang ligat nak buru sale 12.12. Orang macam Merak Jalanan pula sibuk fikir wajah baharu akhbar dan azam tahun baharu yang belum menjadi. Semuanya mahu diselesaikan sebelum kalendar bertukar angka.
Dalam sibuk itu, ada satu perkara yang selalu kita lupa. Padahal itulah yang menentukan lengkap atau tidaknya tahun kita iaitu zakat.
Kita solat, kita puasa. Kita buat umrah atau haji kalau ada rezeki. Semua itu hubungan kita dengan ALLAH. Hablum minallah. Cantik dan sempurna. Tapi zakat ini lain. Ia ibadah serampang dua mata. Dengan ALLAH, ya. Dengan manusia pun ya. Hablum minannas.
Tanpa zakat, ibadah kita macam rumah siap tapi lampu tak dipasang. Nampak siap, tapi masih gelap. Setahun ini, kita diberi macam-macam nikmat. Gaji jalan 12 bulan. Bonus walaupun RM500, tetaplah bonus. Kesihatan baik, anak pula dapat masuk sekolah asrama. Pendek kata rezeki tak pernah putus. Macam-macam ALLAH bagi.
Tapi Merak Jalanan sendiri kadangkala terlupa tanya diri sendiri, “Syukur aku dah zahirkan ke belum?” Sebab syukur bukan rasa dalam hati saja. Syukur itu kena buat. Dan salah satu cara syukur paling jelas ialah zakat.
Zakat ini bukan tentang angka atau berapa duit masuk bank. Ia tentang siapa yang kita sentuh. Siapa yang dapat ringan sikit beban hidup mereka. Kita mungkin tak kenal mereka, tapi mereka rasa kesannya.
Ada budak sekolah yang dapat beli uniform baharu. Ada ibu tunggal yang boleh bayar sewa rumah tanpa takut dihalau. Ada warga emas yang dapat rawatan hospital. Ada mualaf yang perlukan perlindungan. Ada keluarga miskin yang dapat bernafas hujung tahun ini.
Semua itu datang daripada sedikit bahagian yang kita keluarkan. Sedikit sahaja, tetapi bila ramai orang buat sama-sama, kesannya jadi luar biasa.
Contohnya, tahun lalu PPZ-MAIWP berjaya kutip lebih RM1 bilion zakat. Lebih separuh datang melalui potongan gaji. Itu tanda orang kita sebenarnya sudah faham. Zakat ini bukan beban, ia penyuci rezeki.
Kalau fikir besar memang rasa berat. Tapi kalau pecah kecil-kecil, rupanya tak sampai pun tiga peratus daripada gaji. Gaji RM5,000 contohnya, zakat lebih kurang RM125 sebulan. Sama harga dua gelas kopi premium. Bezanya? Kopi habis sekali hirup. Zakat, insya-ALLAH tinggal kesan hingga akhirat.
Rasulullah SAW sendiri pernah bersabda: “Harta tidak akan berkurang kerana sedekah.” (Riwayat Muslim, No. 2588). Kalau sedekah pun tidak mengurangkan harta, apatah lagi zakat yang menjadi rukun.
Akhir tahun begini, semua orang suka buat review hidup. Kita kira bajet, kira cukai, kira cuti, kira KPI. Tapi ramai terlupa satu kiraan paling penting yang menyempurnakan setahun ibadah kita.
Kiraan itu tergambar dalam kempen Year End Zakat (YEZ) PPZ-MAIWP. Tema ‘Akhirnya Sempurna’ memang tepat. Bukan sempurna tubuh, tapi sempurna hubungan kita dengan ALLAH dan dengan manusia.
Sempurna sebab kita tutup tahun dengan jiwa yang lebih bersih, rezeki yang lebih lapang dan hati yang lebih ringan. Dan paling penting, ia mendidik anak-anak kita terutamanya jika kita buat potongan gaji. Mereka lihat slip gaji ayah atau ibu, ada satu baris kecil tapi besar maknanya, Potongan Zakat – PPZ-MAIWP.
Akhir tahun ini, kita semua mahu penutup yang baik. Tahun mungkin ada turun naik, tapi penutupnya kita yang tentukan. Tinggal satu langkah saja untuk menjadikan 2025 ‘akhirnya sempurna'. Zakatkan rezeki, bersihkan hati. Barulah boleh sambut tahun baharu dengan jiwa yang lebih tenang. Layari zakat.com.my untuk maklumat lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
