13 juta pengguna dijangka daftar MyDigital ID hujung tahun ini

Saifuddin (dua kiri) hadir dalamSiri Dialog Khas III PDRM yang dianjurkan JSJK di Pusat Konvensyen Sime Darby di Kuala Lumpur pada Selasa.
Saifuddin (dua kiri) hadir dalamSiri Dialog Khas III PDRM yang dianjurkan JSJK di Pusat Konvensyen Sime Darby di Kuala Lumpur pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan menerusi Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) menyasarkan seramai 13 juta pengguna mendaftar MyDigital ID menjelang hujung tahun ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerajaan sedang bergerak ke arah penggunaan MyDigital ID melalui pindaan Akta Pendaftaran Negara 1959 yang diusulkan di Parlimen pada Selasa.

“Pindaan akta berkenaan bagi membolehkan penggunaan MyDigital ID dalam semua urusan sektor awam dan swasta.

“Selain itu, institusi kewangan seperti perbankan, insurans dan sebagainya akan mengiktiraf MyDigital ID ini. Kita semua sedang bergerak ke arah itu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Siri Dialog Khas III PDRM yang dianjurkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) di Pusat Konvensyen Sime Darby di sini pada Selasa.

Saifuddin Nasution berkata, MyDigital ID yang menggunakan kaedah log masuk tunggal dapat mengatasi kebimbangan masyarakat mengenai pencerobohan data dan kecurian identiti.

Pada Julai lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, kerajaan memperkenalkan MyDigital ID sebagai satu bentuk pengesahan identiti digital tunggal yang sahih, selamat dan dipercayai.

Ia direalisasikan di bawah inisiatif pendigitalan perkhidmatan awam melalui platform Government Technology (GovTech).

Beliau dilaporkan berkata, langkah itu b`ertujuan memudahkan rakyat mengakses pelbagai kemudahan awam secara dalam talian dengan lebih cekap dan pantas.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, seramai 2.8 juta orang rakyat Malaysia telah mendaftar dengan MyDigital ID pada suku kedua 2025.

Julah tersebut dilaporkan meningkat daripada 1.8 juta pendaftaran yang dicatatkan pada suku pertama lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!