'Hari ini dunia menangis, esok ada yang tersenyum' - Pengorbanan Darna jadi inspirasi

Suasana di Hospital Tawau yang dikongsikan PHM susulan amanah Allahyarham Darna untuk mendermakan kornea.
Suasana di Hospital Tawau yang dikongsikan PHM susulan amanah Allahyarham Darna untuk mendermakan kornea.
A
A
A

SHAH ALAM - Kisah pengorbanan seorang ibu lima anak, Darna Tajudin, 41, yang meninggal dunia selepas terlibat dalam nahas membabitkan pemandu mabuk meruntun hati ramai.

Perkongsian mengenai kisah itu menjadi tular selepas detik-detik terakhir Allahyarham yang penuh pengajaran dikongsikan di media sosial oleh Public Health Malaysia (PHM).

Menurut PHM, pada pagi 10 Ogos lalu, Darna yang ceria, aktif dan dikenali kerana sifat pemurahnya keluar berjoging seperti kebiasaannya.

"Namun takdirnya terlalu pilu apabila sebuah kenderaan dipandu pemandu mabuk merempuhnya hingga beliau rebah di jalanan.

“Mangsa segera dibawa ke hospital dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU). Walaupun doktor berusaha sedaya upaya, selepas seminggu Darna disahkan mengalami mati otak sebelum menghembuskan nafas terakhir pada 17 Ogos,” katanya.

PHM menambah, tangisan lima anaknya yang masih muda berusia antara sembilan hingga 18 tahun bergema di sekeliling katil hospital, menandakan kehilangan besar buat keluarga itu.

“Dalam keadaan hiba, keluarganya membuat keputusan penuh keberanian untuk menunaikan amanah terakhir arwah.

“Ia kerana sebelum ini Darna pernah menyuarakan hasrat agar organ tubuhnya dapat membantu orang lain selepas ketiadaannya.

“Di bilik pembedahan Hospital Tawau, suasana sayu menyelubungi apabila seluruh kakitangan berdiri tegak memberi penghormatan terakhir sebelum operasi pendermaan kornea dilaksanakan,” jelas PHM.

Artikel Berkaitan:

Walaupun jasad Darna terbujur kaku, korneanya kini bakal menjadi sinar buat insan lain melihat semula dunia. Malah Allahyarham sebelum ini juga dikenali sebagai penderma darah tegar.

Menurut PHM, ikrar pendermaan organ boleh dibuat melalui aplikasi MySejahtera, namun ahli keluarga perlu dimaklumkan kerana merekalah yang akan menunaikan hasrat itu apabila tiba masanya.

“Hari ini dunia mungkin menangisi kehilangan Darna, tetapi esok ada insan yang bakal tersenyum kerana menerima semula cahaya penglihatan.

“Ia kerana cinta dan kebaikan tidak pernah mati, ia akan terus hidup dalam setiap nyawa yang diselamatkan,” tulis PHM.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!