Gelandangan KL: Semai harapan baharu dengan pendekatan holistik

AMAT membimbangkan apabila membaca isu gelandangan di Kuala Lumpur yang tidak sudah-sudah di dada akhbar dan portal berita meskipun pelbagai usaha dibuat bagi mengurangkan bilangan kelompok itu.
Pada Khamis, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa memaklumkan bahawa masalah gelandangan di ibu negara berada pada tahap kritikal.
Ia kerana Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersama agensi Persekutuan mengesan sehingga 400 gelandangan dalam satu-satu operasi yang dijalankan.
Dr Zaliha berkata, situasi itu menunjukkan masalah berkenaan terus berulang dengan kemunculan gelandangan baharu selain kelompok lama kembali semula ke jalanan.
Ia memperlihatkan bahawa gelandangan bukan sekadar isu sementara, tetapi fenomena sosial yang memerlukan tindakan bersepadu dan strategi jangka panjang.
Jelasnya lagi, gelandangan di Kuala Lumpur terdiri daripada pelbagai latar belakang antaranya pelarian berdaftar, penagih dadah, individu yang menghadapi masalah kesihatan mental serta golongan miskin bandar yang tidak mampu membayar sewa rumah.
Kepelbagaian ini menjadi petanda bahawa masalah gelandangan adalah kompleks dan mendambakan pendekatan yang berbeza mengikut keperluan setiap individu.
Tindakan menangkap atau memindahkan mereka ke pusat transit lebih bersifat jangka pendek.
Sebaliknya, golongan sedemikian perlu diberi peluang untuk sembuh melalui bimbingan kerjaya, rawatan kesihatan mental, pemulihan ketagihan dan sokongan sosial agar mereka dapat kembali berdikari, bahkan berfungsi semula dalam masyarakat.
Tidak dinafikan, usaha kerajaan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) cukup mantap, namun ia mesti diperhebat lagi.
Teringat sewaktu penulis membuat liputan laporan khas eksklusif mengenai gelandangan beraya di bawah jambatan lebih dari 30 tahun, sempat juga menemu bual beberapa kelompok lain di sekitar ibu kota.
Luluhnya mendengar sendiri keperitan hidup dialami seorang wanita berusia 20 tahun yang disisihkan keluarga sejak sekian lama.
Tetapi, muncul rasa sebal di hati sebaik mendengar kisah 'rakan seangkatannya' yang menjadikan gelandangan sebagai kerjaya hanya kerana orang Malaysia terlalu bermurah hati.
Pun begitu, Dr Zaliha memaklumkan, JKM dan KPWKM sedang meneliti undang-undang sedia ada bagi menentukan agensi paling sesuai untuk memikul tanggungjawab utama mengurus isu gelandangan secara jangka panjang.
Dengan pendekatan tuntas dan holistik, bukan sahaja jumlah gelandangan dapat dikurangkan, malah golongan ini juga berpeluang memulakan kehidupan baharu yang lebih stabil serta bermaruah kelak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

